berita

[VIDEO] ‘Alhamdulillah Mereka Dapat Melihat Saya Menerusi Teropong’ – 8 Bulan Terpisah Dengan Anak, Isteri

October 9th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Terpisah dan tidak dapat bertemu dengan insan tersayang terutamanya ahli keluarga dalam tempoh yang agak lama merupakan satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Itu lah yang dialami keluarga kecil ini apabila mereka terpaksa berjauhan hampir lapan bulan disebabkan penutupan sempadan Malaysia-Singapura serta larangan rentas negara berkuat kuasa 18 Mac lalu. Tetapi siapa sangka kerinduan yang menyelubungi hati mereka sekeluarga akhirnya terubat juga, sebaknya!

8 bulan terpisah


Menerusi video yang dikongsikan di Facebook Muhamad Faiz, memperlihatkan Mohd Izwan Sarip sedang berjalan menuju ke jeti sambil membuat video call bersama isteri, Liana Idris dan anak-anak tersayang.

Izwan yang ketika itu berada di Woodland Waterfornt Park, Singapura juga sempat bertanya keberadaan isterinya, kemudian si isteri memberitahu bahawa dia ada situ (tepi perairan Johor Bharu). Ketika sedang berbual, kedengaran juga suara kegembiraan kedua-dua anak perempuan pasangan ini.

Saya tiada teropong tetapi beritahu adik perempuan supaya ingatkan isteri untuk membawanya. Rezeki mereka dapat melihat saya.Mengenai video yang tular itu pula, saya tidak sedar adik ipar yang menemani saya ada merakamnya kerana sedang asyik melihat isteri dan anak menerusi telefon bimbit.

Tak pernah berjauhan

Harian Metro turut melaporkan, Izwan yang bekerja sebagai pembantu gudang di Jurong, Singapura memberitahu idea tersebut dicadangkan oleh adik kandungnya yang juga pernah melakukan perkara sama apabila merinduinya si suami yang turut bekerja di Singapura.

Bapa kepada dua anak ini mengakui tidak pernah berjauhan dengan keluarganya dalam tempoh yang agak lama kerana sebelum ini dia akan berulang-alik dari Johor Bharu ke Singapura.

Setiap hari, kami berhubung menerusi Whatsapp dan panggilan video untuk bertanya khabar, cuma hari itu saya mahu melihat anak dan isteri di depan mata sebab terlalu rindu. Sebab itu saya ke situ… Alhamdulillah mereka dapat melihat saya menerusi teropong walaupun cuma seketika dan terubat juga kerinduan kami selepas sekian lama terpisah.

Kerinduan terubat


Sementara itu, Liana meluahkan rasa syukur kerana akhirnya rindu mereka sekeluarga terubat. Tetapi dalam masa yang sama, dia berharap sempadan kedua-dua negara ini akan dibuka supaya mereka sekeluarga dapat bersatu kembali.

Sangat teruja dan rasa sebak hingga menangis kerana selama ini kami hanya berhubung dengan satu sama lain menerusi telefon. Akhirnya, dapat juga saya dan anak melihatnya menerusi teropong.

Video tersebut telah viral di media sosial sehingga mendapat pelbagai respon daripada netizen. Kebanyakan daripada netizen turut sebak melihat momen sedih keluarga tersebut dan berharap agar mereka sekeluarga terus tabah menghadapi ujian ini.

Sumber: Muhamad Faiz, Harian Metro

SKIP THIS AD ×