Penyanyi muda berbakat, Ammar Haikal, kini melangkah masuk ke arena muzik dengan penuh semangat apabila tampil dengan single sulung berjudul Gila Bayang di bawah label XO House.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ammar Haikal Menangis, Terharu Lihat Persembahan Azeva & Ameng – ‘Keluarga Yang Sebelum Ini Berpecah..’

Artikel Berkaitan: ‘Walaupun Tahun Lepas Saya Nombor Empat, Saya Nak Tengok Azeva Juara’ – Ammar Haikal

Ramai pendengar

Tanpa jangkaan besar pada awalnya, Ammar mengakui terkejut apabila teaser lagu tersebut mula mendapat perhatian ramai di media sosial, khususnya di TikTok dan digunakan sebagai latar audio oleh pengguna platform berkenaan.

Apa yang lebih membanggakan, lagu ciptaan bersama Naim Daniel, Adib Hamdi dan Amir Firdaus itu kini sudah mencatat lebih 60,000 pendengar di TikTok, sekali gus memberi permulaan positif buat perjalanan seni Ammar.

Apabila memuat naik sedutan lagu itu, saya tak sangka mendapat sambutan yang memberangsangkan dan diterima dengan baik oleh pendengar.

Lebih membanggakan apabila lagu itu sudah didengari lebih 50,000 pengguna TikTok. Jadi saya berterima kasih kepada yang menggunakan lagu itu.

Ammar berkata demikian ketika sidang media lagu Gila Bayang, di pejabat XO House, baru-baru ini.

Anak kepada penyanyi kumpulan Spring, Ameng turut mendedahkan bahawa dirinya dan pihak label pada awalnya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap single sulung itu.

Sebenarnya, saya dan pihak label XO House tidak meletakkan harapan tinggi kepada single ini. Cukup sekadar membantu untuk memperkenalkan diri saya kepada peminat.

Jadi saya berterima kasih kepada label XO House kerana menghasilkan lagu yang hebat seperti Gila Bayang.

Saya yakin single ini boleh pergi lebih jauh dan membawa nama saya lebih tinggi kerana penghasilannya yang mantap.

Bercerita tentang pemilihan lagu, Ammar, 18, berkata dia terus jatuh hati sebaik mendengar demo Gila Bayang buat pertama kali.

Pemilik nama Wan Ammar Haikal Wan Aminuddin turut mengakui cabaran terbesar sepanjang proses pembikinan lagu ini adalah dalam mengurus masa antara rakaman dan pelajaran.

Kini, Ammar sedang melanjutkan pengajian dalam program Asasi Seni Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Ada masa bertindih dengan pelajaran di mana saya terpaksa bergegas ke studio rakaman selepas kelas semata-mata untuk menyiapkan lagu ini dan kemudian pulang lewat malam.

Jadi, masa itu menjadi kekangan terbesar kerana saya perlu bijak bahagikan masa antara bidang nyanyian dan pelajaran.

Tak bergantung pada populariti bapa

Dalam masa yang sama, Ammar turut menegaskan keinginannya untuk membina nama sendiri tanpa bergantung kepada populariti bapanya.

Saya juga mahu berjaya dalam bidang nyanyian dengan usaha sendiri dan bukannya menumpang nama Ameng Spring.

Tapi saya tidak ada masalah untuk menyanyikan lagu popular ayah saya bila ada permintaan dari peminat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas XO House, Adib Hamdi, berkata, dia berasa gembira dan berbangga melihat perjalanan Ammar.

Bermula sebagai Juara XO CAMP! Musim Pertama, kini Ammar melancarkan single debutnya sendiri.

Ini merupakan antara matlamat utama kami di XO House, iaitu melahirkan generasi baharu bakat tempatan dan memberi peluang kepada mereka untuk membina kerjaya dalam industri muzik.

Ammar adalah sebahagian daripada legasi generasi baharu XO House, dan kami berharap ‘Gila Bayang’ menjadi permulaan yang baik untuk perjalanan seninya.