Menjadi seorang anak perantauan yang sentiasa berjauhan dengan keluarga merupakan satu perkara yang sangat menyedihkan terutamanya apabila tibanya musim perayaan. Perasaan pilu pasti timbul apabila melihat ahli keluarga lain berkumpul dan bersuka ria sedangkan kita keseorangan di negara orang. Perasaan rindu yang menyelubungi hati seorang anak terhadap ibu bapanya memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apatah lagi apabila sudah lama tidak bersua muka.
Terbaru, seorang pemuda telah membuat kejutan kepada ibunya setelah sekian lama tidak berjumpa.
30 jam perjalanan
Haven’t celebrated Chinese New Year w the fam in three years so decided to hop on a 30-hour journey and all my mum could ask was “why are you here” ? pic.twitter.com/ftG1eY30iQ
— ?? (@TheBenYap) January 19, 2020
Menurut pemuda ini, The Ben Yap dia sanggup meredah 30 jam perjalanan dari luar negara kerana ingin membuat kejutan kepada ibunya memandangkan sudah tiga tahun dia tidak berkesempatan pulang ke Malaysia untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama keluarga tercinta. Tetapi apa yang melucukan apabila reaksi spontan yang diberikan ibunya sambil berkata ‘kenapa kamu ada disini?’.
Menerusi video berdurasi 0:37 saat itu memaparkan pemuda tersebut menunggu di dalam kereta sambil memerhati gelagat ibunya yang langsung tidak tahu akan kepulangannya ke tanah air. Wanita itu dilihat sedang berjalan sambil diiringi suaminya menuju ke sebiji kereta sehinggalah dia tiba di hadapan pintu kereta dan wajahnya kelihatan begitu terkejut apabila melihat anak lelakinya keluar dari kereta. Wanita itu tidak dapat menahan sebak sehingga telah mengalirkan air mata sebaik sahaja melihat wajah anak kesayangannya itu. Mereka berdua kemudian berpelukan antara satu sama lain dan memberikan kucupan mesra untuk melepaskan rindu yang sekian lama terbuku.
‘Family always comes first’
Perkongsian ini telah mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-ratanya terharu melihat keakraban dan kemesranan dua beranak ini. Tidak kurang juga ada dalam kalangan mereka yang turut memberi ucapan sempena perayaan tahun baru cina yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Sumber: The Ben Yap