![[VIDEO] ‘Apa Yang Berlaku Semalam, Saya Jadikan Pengajaran & Akan Terus Ke Hadapan’ – Aliff Aziz](https://asset.ohbulan.com/2026/08/ALIFF678.jpg)
Selepas melalui pelbagai perkara dalam kehidupan dan kerjaya, selebriti popular Aliff Aziz mengakui istilah comeback atau kemunculan semula kini membawa pengertian yang berbeza buat dirinya.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aliff Aziz Respon Dakwaan ‘Digam’ Stesen TV – ‘Sekiranya Ada Tentulah Saya Sedih’
Artikel Berkaitan: Aliff Aziz Tak Tutup Pintu Hati, Serah Soal Jodoh Pada Takdir – ‘Kalau Nak Pasangan Baik, Mestilah Saya Kena Jadi Baik’
Perbaiki diri

Ketika ditemui OhBulan!, Aliff atau nama lengkapnya Mohammad Aliff Aziz berkata, perkataan comeback kadang kala membuatkan dirinya berasa risau kerana dia tidak lagi melihat kemunculan semula dalam industri hanya dari sudut luaran.
Sebaliknya, Aliff menyifatkan comeback adalah sebagai satu proses untuk melakukan perubahan termasuk mengenal pasti kelemahan diri dan perkara yang perlu diperbaiki.
Perkataan comeback pun sebenarnya membuatkan saya risau. Jadi untuk saya, erti comeback buat masa sekarang berbeza sedikit.
Comeback itu pada saya, daripada tengok dari luaran, saya tengok dari segi dalaman. Maksudnya, apa perkara yang boleh saya perbaiki.
Menurut Aliff, dia perlu bersikap jujur terhadap dirinya sendiri termasuk berdepan dengan segala kekhilafan pada masa lalu.
Saya kena jujur dengan diri dan juga apa saja kelakuan saya di masa silam, saya harus mencari kaedah untuk memaafkan diri sendiri. Kerana hanya dengan itu baru saya boleh ke hadapan.
Bukan kata saya tidak fikirkan apa yang berlaku dalam kisah silam saya sepanjang saya berkecimpung dalam industri ini, tetapi sampai bila?
Saya sudah berumur 35 tahun dan saya nak habiskan sisa-sisa kehidupan saya di dalam industri ataupun kehidupan saya secara umumnya dengan sesuatu benda yang positif.
Jadi, ia bermula dengan menyedari kelemahan diri, menyedari kekurangan sendiri dan bila tengok dari dalam, saya tak ada waktu untuk fokus apa yang ada di luar.
Dalam pada itu, Aliff berkata dia terbuka menerima apa sahaja pandangan yang diberikan terhadap dirinya, sama ada positif mahupun sebaliknya.
Apa orang nak kata atau pendapat mereka, saya terima dengan hati terbuka.
Nama pun pendapat, betul atau tak betul, bukan untuk saya menilai. Itu adalah di luar bidang kuasa saya untuk mengubah persepsi orang. Yang saya boleh fokus adalah bangkit balik, apa yang Allah bagi ini ambil dan betul-betul fokus.
Alhamdulillah, ia memberi saya ketenangan. Saya percaya dengan konsep rezeki. Di mana ada rezeki saya, di situ saya akan berusaha.
Aliff berkata demikian ketika ditemui pada sidang media teater muzikal Mansur & Liu yang berlangsung di Istana Budaya baru-baru ini.
Melihat dirinya yang semakin positif, aktor dari Singapura ini bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk melalui setiap fasa dalam hidupannya tanpa kehadiran insan-insan yang disayangi.
Alhamdulillah, masih ada doa ayah dan umi. Sokongan lain pun saya dapat daripada adik-beradik saya dan juga sahabat-sahabat jemaah serta kawan-kawan dalam industri. Mereka banyak memberikan kata-kata semangat.
Jadi pada saya, saya tidak mengatakan perkara ini sesuatu yang mudah kerana saya juga manusia biasa yang mempunyai perasaan. Kadang-kadang ada hari yang baik, kadang-kadang ada hari yang buruk.
Saya suka guna analogi ni ada seorang sahabat saya kongsi. Dia kata, ‘Aliff, bila kita bawa kereta, kita tengok depan ataupun kita tengok cermin pandang belakang? Cermin padang belakang itu kita tengok untuk kita lihat itu dan ini tapi kita kena fokus dekat depan.’
Mungkin sebelum ni saya banyak tengok ‘cermin pandang belakang’ itu lama sangat. Jadi bila kita tengok lama sangat, maka akan terlanggarlah lagi. Macam itulah anologinya.
Tambah pelantun lagu Sayang-Sayang itu, apa yang berlaku sebelum ini akan terus dijadikan sebagai pengajaran, namun tidak mahu terus terperangkap dalam kisah tersebut.
Aliff berkata, dia memilih untuk mengambil iktibar dan terus melangkah ke hadapan dengan segala peluang yang masih diberikan kepadanya.
Saya cuba untuk jadi optimistik dan lebih sihat. Luang masa di gimnasium dan jaga makan. Perkara-perkara beginilah yang mungkin boleh membuat saya menjadi lebih baik dan untuk meneruskan kehidupan saya ke hadapan.
Apa yang terjadi semalam, saya jadikan pengajaran tapi saya akan terus ke hadapan.
Saya berterima kasih kepada semua yang telah memberi peluang untuk saya berkarya semula.








