![[VIDEO] Azhan Rani Yakin Noorkhiriah Dalam Keadaan Baik, Minta Orang Ramai Tak Bimbang](https://asset.ohbulan.com/2026/09/azhan-dan-noorkhiriah.jpg)
Pelakon, Azhan Rani tidak menganggap ketiadaan Noorkhiriah di media sosial sebagai sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana percaya perkara itu hanya bersifat sementara.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Tak Perlu Terlalu Lama’ – Jaja Ishak Nasihat Noorkhiriah Jangan Larut Dengan Kekecewaan
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Kalau Meninggal, Apa Kita Nak Jawab?’ – Noorkhiriah Praktik Tiga Tips Kekal Istiqamah
Ketika ditemui OhBulan!, Azhan, 50, berpendapat keputusan untuk berehat seketika daripada media sosial merupakan perkara biasa terutama apabila seseorang itu berasa penat atau memerlukan ruang untuk diri sendiri.
Berkongsi pengalaman peribadi, Azhan mengakui dirinya juga pernah mengambil pendekatan sama sebelum kembali membuka akaun baharu.
Bagi saya tidak perlu risau sebab tiada masalah pun. Saya sendiri pernah tutup akaun media sosial saya dan kemudian buka akaun baharu. Ada masa-masa seseorang itu rasa rimas dan mahu berehat sekejap.
Mengenali Khiriah, dulu pun dia pernah umum nak berhenti berlakon tetapi akhirnya berlakon balik. Emosi manusia ini ada masa berubah, lebih-lebih lagi perempuan.
Jadi tengoklah nanti, mungkin tak lama lagi dia buka akaun baharu. Kita tak tahu kan? Yang paling penting kita tahu dia okay, itu sudah cukup.
Azhan berkata demikian ketika ditemui pada majlis penghargaan filem Chelot di Kuala Lumpur pada Isnin.
Ketika ditanya mengenai keakrabannya dengan Noorkhiriah, Azhan menjelaskan hubungan mereka tidaklah serapat yang disangka sebaliknya lebih banyak berhubung apabila terlibat dalam sesuatu projek.
Sebenarnya kami baik apabila ada projek bersama dalam sesebuah naskhah. Bukannya setiap hari saya nak berhubung atau WhatsApp dia. Buat apa nak buat begitu kalau tiada urusan?
Lingkaran persahabatan dia ada yang lain. Cuma bila timbul isu dia tutup media sosial ini, memang ramai pihak bertanya kepada saya.
Jawapan saya tetap sama, kami tidaklah serapat yang orang sangka kerana kami hanya rapat dalam konteks watak dan cerita sahaja.
Bercerita lanjut, Azhan berkata komunikasi terakhirnya bersama Noorkhiriah berlaku ketika mereka terlibat dalam penggambaran drama 1000 Tahun sebelum ini.
Kami masih ada WhatsApp bersama tenaga produksi drama 1000 Hari, jadi bila dia tukar nombor telefon baharu dan nombor lama dah tidak aktif, kami tahu daripada situ secara rawak.
Sahabat-sahabat lain dalam grup itu pun ada beritahu yang Khiriah sedang menjalani penggambaran di Pahang. Jadi kita tahu dia okay dan sedang bekerja.