Pelakon baharu, Badron Munirah mendedahkan pernah ditawarkan menjadi ‘sugar baby’ atau ‘anak ikan’ oleh seorang individu tidak dikenali dengan bayaran lumayan mencecah RM100,000.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Badron Munirah Percaya Pada Rezeki – ‘Saya Hanya Ada RM200…’

Tawaran sugar baby

Menurut Badron atau nama sebenarnya Mohammad Nur-Badron Munirah Rio Abdillah, 26, tawaran itu diterimanya ketika baru menjejakkan kaki ke dunia seni.

Bagaimanapun, Badron tidak membuat laporan polis kerana tawaran tersebut tidak berlaku secara bersemuka.

Saya pernah dapat tawaran sebanyak RM100,000 untuk jadi sugar baby. Cumanya saya tidak pasti individu yang tawarkan itu lelaki atau perempuan.

Ketika itu saya baru sahaja masuk industri, memang rasa takut sangat. Saya ada kongsi dengan kawan, tanya apa yang patut saya buat. Tapi saya tak layan sebab perkara sebegitu sangat menakutkan.

Badron berkata demikian ketika ditemui pada acara Viu Royal Night di W Factory, Shah Alam, baru-baru ini.

Selain itu, pelakon muda ini turut berkongsi mengenai pengalaman menerima mesej berbaur lucah menerusi akaun Instagram miliknya selepas memuat naik beberapa foto menampakkan separa badan.

Saya ada terima mesej nakal. Ada yang mengaku dia ‘bottom’ dan ajak berkenalan. Malah, ada juga yang hantar gambar serta mengajak buat perkara tak senonoh. Kebanyakannya lelaki. Saya tak layan, langsung tak jawab.

Dalam perkembangan kerjaya, Badron kini sedang membintangi drama bersiri Putri & Prince terbitan Viu yang diarahkan oleh pelakon dan penyanyi terkenal, Liyana Jasmay.

Drama tersebut turut menampilkan barisan pelakon muda seperti Nesa Idrus, Khayrisyah Kemal, Adriana Adnan dan ramai lagi.