Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay berkongsi pengalaman mistik yang dilaluinya sepanjang menjalani proses penggambaran filem seram sulung arahannya, Pemuja Syaitan.

Artikel Berkaitan: Di Sebalik Pemuja Syaitan, Liyana Jasmay Kini Lebih Berhati-Hati – ‘Kurangkan Cerita Goal Kepada Orang Kerana…’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Liyana Jasmay Sentuh Sikap ‘Talam Dua Muka’, Akui Terkilan Datang Daripada Rakan Sendiri – ‘Kebersamaan Dalam Industri Ini Memang Tiada’

Pengalaman mistik

Ketika ditemui OhBulan!, Liyana, 38, berkata, dia terlihat kelibat lembaga hitam yang disifatkannya berkemungkinan sebagai ‘hantu raya’.

Tambah Liyana, gangguan tersebut turut dialaminya sehingga ke hotel, meskipun selepas selesai menjalani penggambaran.

Pengalaman mistik sendiri apabila saya nampak lembaga hitam, mungkin hantu raya. Tetapi, selalunya tidak begitu.

Benda itu ikut saya sampai ke hotel tapi yang ini memang ganas.

Liyana berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengenalan pelakon Pemuja Syaitan yang berlangsung di Hextar Empire World, baru-baru ini.

Menurut pelakon dan pengarah berusia 38 tahun itu, dia segera menunaikan solat dan membaca al-Quran sebagai ikhtiar melindungi diri daripada gangguan makhluk halus.

Saya cuma bangun dan terus solat. Saya terus mengaji tidak berhenti satu hari.

Kejadian rasuk dalam filem bukan lakonan

Berkongsi lebih lanjut, Liyana mendedahkan babak rasukan dalam filem Pemuja Syaitan bukan sekadar lakonan apabila salah seorang pelakon dipercayai mengalami gangguan ketika proses penggambaran berlangsung.

Tambahnya lagi, perkara tersebut disedari ketika proses penyuntingan apabila dia sendiri terkejut melihat sesuatu yang disifatkan luar biasa pada babak berkenaan.

Kejadian rasuk itu memang betul sebab tempat ini ditinggalkan, orang tidak masuk pun.

Dalam filem nanti anda semua akan tengok, memang ada orang yang betul-betul kena rasuk waktu itu.

Dia berlakon tetapi dalam masa sama dia kena rasuk. Memang boleh rasa sebab masa saya edit, saya terkejut. Boleh rasa ada sesuatu dekat dengan dia.

Filem Pemuja Syaitan menampilkan Zul Ariffin sebagai teraju utama dengan barisan pelakon lain seperti Nadhir Nasar dan Aila Azizul.

Diterbitkan oleh Mermaid Studios bersama Suraya Filem Production & Distribution, Pemuja Syaitan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 15 Oktober 2026.