Tindakan seorang pemandu lori simen yang terburu-buru memasuki tapak pembinaan dan enggan mematuhi larangan melintas di laluan kereta api akhirnya membawa padah apabila kenderaannya dirempuh lokomotif di Kilometer 2, Pelabuhan Utara, di Pelabuhan Klang.
Kejadian itu sempat dirakam oleh orang awam sebelum ianya mula tular di media sosial.
Tidak mengikut arahan melintas laluan
https://www.facebook.com/kosmo.online/videos/404784390233857/
Menerusi Utusan Online, pemandu yang berusia 43 tahun itu didakwa mengabaikan arahan melintas laluan kereta api walaupun telah diarahkan berhenti oleh pengawal stesen berkenaan.
Menerusi video tersebut dapat dilihat pengawal berkenaan telah membawa bendera hijau untuk menghalang lori itu daripada melintas tetapi pemandu lori tersebut tetap meneruskan perjalanan sebelum dilanggar kereta api itu di bahagian belakang kenderaan berat itu menyebabkan kenderaan itu terbalik.
Muatan simen cair tertumpah
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pemandu keratapi tersebut sempat membunyikan hon tetapi tidak diendahkan oleh pemandu lori tersebut.
Pelanggaran itu mengakibatkan lori simen berkenaan terbalik dan muatan simen cair tumpah di lokasi kejadian, manakala, lokomotif tersebut pula mengalami kerosakan di bahagian enjin hadapan.
Tiada berlaku kecederaan
Bagaimanapun tiada kecederaan dialami oleh kedua-dua pemandu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. Kes ini akan disiasat mengikut Akta Kereta Api 1991 oleh pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan kedua-dua pemandu terlibat sedang dirakam keterangan.
Tambah beliau lagi, kerja-kerja mengalih lokomotif dan kerja pembersihan simen juga sedang dilakukan oleh pihak berwajib.
Sumber: Kosmo, Utusan Online