![[VIDEO] ‘Dia Tumpang Populariti Saya, Dah Tiada Modal Lain’ – Ameng Cabar Liza Hanim Popularkan Anak](https://asset.ohbulan.com/2026/04/ameng-liza-hanim.jpg)
Penyanyi Ameng Spring mendakwa rakan seindustri, Liza Hanim menumpang popularitinya apabila dia tampil meluahkan rasa terkilan terhadap komen seorang penyanyi senior di media sosial baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ammar Haikal Menangis, Terharu Lihat Persembahan Azeva & Ameng – ‘Keluarga Yang Sebelum Ini Berpecah..’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ameng Kongsi Kisah Di Sebalik Tirai Besi – ‘Ketika Itu Saya Rasa Hidup Ini Sudah Habis’
Publisiti murahan
Ketika ditemui OhBulan!, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail mendakwa Liza Hanim menggunakan isu anaknya, Marsya yang disifatkan publisiti murahan.
Tegas Ameng, dia tidak menyeru mana-mana pihak apabila bersuara tentang adat menang kalah dalam sesebuah pertandingan namun keadaan menjadi keruh apabila Liza Hanim tampil dengan kenyataan di Instagram Story (IGs).
Liza Hanim sebenarnya dia nak tumpang populariti saya, itu saja. Dia nak cari publisiti murahan. Dia dah tiada modal lain.
Saya cakap, jangan harapkan kemenangan. Kadang-kadang kemenangan tidak menjanjikan apa-apa.
Yang penting, kita jangan anggap itu pertandingan. Kalau kalah, kalah. Saya banyak kali kalah dalam pertandingan, tapi saya tetap popular.
Yang juara tidak tentu akan popular. Saya tidak cakap pun anak Liza Hanim (Marsya). Saya cakap, perkara ini wujud daripada zaman 90an lagi.
Ameng berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Next Level Gabungan mStar, Suria dan Kuali di Saloma Kuala Lumpur, pada Rabu.
Buktikan
Dalam pada itu, Ameng akui tidak berdiam diri apabila statusnya sebagai penyanyi senior dipetik oleh rakan seindustri sendiri melalui platform media sosial.
Pelantun lagu Bourgenvilla itu turut menyarankan agar Liza Hanim memanfaatkan wang kemenangan berjumlah RM30,000 sebagai modal untuk membantu mempopularkan anaknya dalam industri seni.
Dia cuba menangguk di air keruh. Jangan cabar saya.
Memang silap la kalau kau nak burukkan nama aku. Seumur hidup, aku tak pernah burukkan nama orang.
Masalah sekarang ini, kau jangan melatah. Kau buktikan yang kau seorang juara.
Kau pergilah popularkan anak kau. Dia dapat duit RM30,000 dia pergi bercuti. Patutnya kau cari Melly Goeslaw buat lagu untuk Marsya.
Mengulas lanjut mengenai hubungan sebelum isu ini tercetus, Ameng memaklumkan bahawa segalanya berada dalam keadaan baik namun menyifatkan pelantun lagu Gelisah Mimpi itu sebagai seorang yang mudah melatah.
Saya merupakan salah seorang pengikut dia. Kami tiada masalah pun. Ini bukan salah faham, dia sengaja.
Saya selalu satu pentas dengan dia. Cuma sekarang saya banyak tengok Liza Hanim banyak bersuara tentang komen orang pada Marsya. Seolah-olah dah tiada idea lain.
Imbas kembali, Liza Hanim meluahkan rasa kurang senang apabila anaknya didakwa diperlekehkan oleh seorang individu sebagai juara program realiti Talk To My Manager (TTMM) musim pertama.
Pada hantaran yang sama, Liza menitip pesanan agar individu tersebut menjaga kata-kata.