![[VIDEO] Dr Zulkifli Kongsi Tentang Azam Tahun Baharu – ‘Orang Yang Tak Ada Cita-Cita, Sebenarnya Dia Sudah Mati’](https://asset.ohbulan.com/2025/12/Dr-Zulkifli-1.jpg)
Berlabuhnya tirai tahun ini, maka ia membuka lembaran baharu yang sarat dengan harapan dan tekad. Azam tahun baharu bukan sekadar impian, tetapi satu janji kepada diri sendiri untuk menjadi insan yang lebih baik, sama ada dari segi peribadi, kerjaya, kewangan mahupun rohani.
Artikel Berkaitan: ‘Jika Menyebabkan Masalah & Membahayakan, Hukum Mencium Hajar Aswad Adalah Haram’ – Dr Zulkifli
Artikel Berkaitan: ‘Hentikan Trend Bawa Kek Birthday Ke Kubur Anak, Gantikan Dengan Doa & Sedekah’ – Dr Zulkifli
Azam tahun baru
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan pandangannya tentang azam tahun baru yang dilihat perlu ditetapkan oleh setiap individu dengan penuh rasa kesungguhan.
Menurut Dr Zulkifli, azam besar berfungsi sebagai matlamat utama, manakala azam-azam kecil pula menjadi langkah praktikal yang perlu dilaksanakan secara berperingkat dan konsisten.
Pada saya ada dua azam, yang pertama adalah azam yang besar dan satu lagi adalah azam yang kecil.
Untuk azam yang besar, kita boleh target satu benda yang kita nak capai.
Contohnya, tahun 2026 nak pergi ke Makkah. Jadi, untuk buat umrah kita kena bina azam yang kecil iaitu dari segi kewangan, kemampuan, ilmu untuk pelajari dan seumpanya.
Pada masa itu, kita kena simpan RM1,000 sebulan nak cukupkan untuk pergi secara berpasangan suami dan isteri.
Persediaan lain adalah kita mula baca buku-buku berkenaan dengan umrah dengan lebih terperinci dan memperbaiki diri.
Itu semua adalah tekad dan azam.
Dalam pada itu, Dr. Zulkifli berkongsi bahawa apabila seseorang benar-benar menetapkan azam, ia akan menjadi pemangkin kepada kerajinan, disiplin serta perubahan positif yang berterusan dalam kehidupan.
Kata cerdik pandai, orang yang tidak ada azam atau cita-cita sebenarnya orang itu sudah mati.
Sekurang-kurangnya kita kena ada cita-cita, terutama sekali cita-cita untuk akhirat. Bagaimana kita nak menjadi orang yang lebih baik, cemerlang, mendapat kerajinan dan kesungguhan?
Jadi jawapannya adalah, kita kena bina azam yang sebaik-baiknya.