Pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila mengenang tahun ini menjadi tahun pertama menyambut Ramadan dan Syawal tanpa ibu di sisi.

Artikel Berkaitan: PRU15: Pernah Tinggal Dalam Rumah Serba Kekurangan, Eizlan Yusof Faham Kesusahan Rakyat

Artikel Berkaitan: PRU15: ‘Bergegas Dari Set Penggambaran Ke Penamaan Calon’ – Eizlan Yusof

Raya pertama tanpa ibu

Ketika ditemui OhBulan!, pelakon berusia 53 tahun itu terkilan kerana hajat ibunya untuk masak makanan raya untuk mereka empat beradik tidak tercapai.

Mak saya memang pandai masak dan tahu apa yang adik-beradik suka. Setakat ini saya tidak jumpa lagi kuih wajid yang lebih sedap daripada mak saya buat. (Rindu) masakan lemak cili api dan rendang mak.

Tahun lepas mak tidak masak sebab kami adik-beradik tidak benarkan jadi tahun ini mak kata kalau sihat dia nak masak untuk kami semua.

Katanya, meskipun setiap individu tidak sempurna namun figura ibu adalah insan yang terbaik di dunia dan akhirat.

Mak tetap mak. Kalau dengan mak tiada istilah buruk.

Segala yang terbaik atas muka bumi ini adalah mak kita. Mak adalah insan yang terbaik di dunia dan akhirat.

Pergi mengejut

Eizlan yang tidak dapat menahan sebak mengatakan ibunya pergi secara mengejut dan tidak menunjukkan tanda-tanda mahu ‘pergi’.

Mak dah dua tahun sakit dan tidak berada dalam keadaan kritikal. Mak ada penyakit kencing manis dan luka itu lambat pulih.

Makin lama ia jadi melarat dan ditempatkan di wad pantauan.

Menceritakan kembali, pelakon filem Impak Maksima 2 itu berkata dia sudah berniat mahu melawat ibunya sehari selepas tiba di Kuala Lumpur dari Jakarta atas urusan kerja.

Saya baru balik dari Jakarta sebab ada pejabat di sana. Sehari sebelum mak meninggal, saya dah sampai di Kuala Lumpur. Sampai lewat malam dan terus buat photoshoot kurta jenama saya.

Esoknya, memang niat nak melawat mak semasa waktu tengahari. Tetapi bila kakak telefon beritahu mak dah meninggal, saya bergegas pergi ke hospital.

Apabila ditanya mengenai momen terakhir bersama ibunya, Eizlan berkata dia sempat membuat panggilan video dan meminta doa supaya urusan kerja dimudahkan.

Isnin lalu, ibu Eizlan iaitu Ramlah Latif yang berusia 75 tahun dilaporkan telah meninggal dunia akibat jangkitan kuman.