Axiata Arena, Bukit Jalil menjadi saksi bergemanya lagu-lagu ketuhanan penuh penghayatan daripada kumpulan nasyid terkenal Inteam di Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih yang berlangsung pada Ahad.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Misteri Bau Wangi Di Konsert Inteam Terjawab, Rupanya Kru Sembur Pewangi

Vokal mantap

Pentas konsert tersebut dibuka dengan persembahan dari sebuah karya yang diciptakan khas buat junjungan besar umat Islam iaitu Rasullullah SWT menerusi lagu Dia Muhammad.

Energi Inteam mula dirasai oleh peminat yang hadir apabila mereka mula mendendangkan lagu popular Kasih Kekasih, malah kumpulan nasyid itu juga dilihat tidak kekok menyanyikan lagu Inggeris dari kumpulan Westlife iaitu Flying Without Wings.

Sepanjang kira-kira tiga jam konsert, kumpulan Inteam yang dianggotai oleh Mohd Syahril Abdul Khalid, Abdul Rahim Osman, Hisyam Ahmad dan Hazamin Harun itu menyampaikan lebih 25 buah lagu, sekaligus membuktikan kemantapan vokal masing-masing.

Antara rangkaian lagu yang disampaikan adalah, Rabiatul Adawiyah, Sutera Kasih, Impian Kasih, Ratu Syahadah, Satukan Kami Di Syurga, Dia, Setanggi Syurga dan Nur Kasih.

Bukan itu sahaja, busana yang dipakai oleh setiap anggota kumpulan Inteam juga merupakan antara elemen yang menyorot perhatian ramai. Pada malam tersebut mereka mengenakan tiga sepersalinan iaitu warna hijau, putih dan merah hati.

Penampilan istimewa

Selain persembahan memukau kumpulan Inteam, pentas konsert tersebut turut dihangatkan lagi dengan kehadiran penampilan istimewa daripada penyanyi-penyanyi terkenal negara iaitu Zizi Kirana, Nazrey Johani dan Datuk M. Nasir.

Zizi pada malam itu mendendangkan lagu hits daripada Wahida iaitu Wassini dan sebuah lagu rap berjudul Perang Dah Tamat. 

Nazrey Johani pula penggamit kenangan zaman kegemilangan kumpulan nasyid dengan menyampaikan lagu Kehidupan serta Pujian-Pujian. Peminat dilihat turut bersama-sama mengalunkan dua kalimah syahadah semasa Nazrey menyanyikan lagu tersebut.

Bukan itu sahaja, kehadiran maestro muzik Datuk M.Nasir di konsert berkenaan juga merupakan antara momen yang ditunggu-tunggu peminat. M. Nasir menjayakan konsert tersebut dengan menyanyikan lagu Perjalanan dan Bonda bersama kumpulan Inteam. 

Solidariti Palestin & sumbangan 

Dalam pada itu, Inteam turut menggunakan konsert tersebut sebagai wadah untuk bersoladiri terhadap saudara-saudara Islam di bumi Palestin.

Inteam menyampaikan beberapa buah lagu bergenre kemanusian. Antaranya We Will Not Go Down dan medley Iman Aman, AlQudus Lana serta Bebas Palestin.

Bukan hanya kumpulan Inteam, tetapi rata-rata peminat yang hadir turut mengenakan tema pakaian konsert bertepatan dengan warna-warna pada bendera Palestin iaitu Merah, Hitam, Hijau dan Putih.

Sementara itu, Inteam, M.Nasir dan pihak penganjur konsert, Icon Entertainment mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia.

Bagi menghargai peminat, mereka turut diraikan dengan segment cabutan bertuah dan membawa pulang sebuah motorsikal, jam tangan, 10 baucar haji, serta pakej penuh umrah untuk enam orang.