Penyanyi Hadie Elfardie mengakui mengambil masa hampir lima bulan untuk benar-benar memahami dan menghayati single terbaharunya, Dusta Sebuah Cinta.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hadie Kongsi Ammar Haikal Tak Berkira Soal Duit – ‘Saya Nak Bayar Balik Dia Tak Ambil Pun’

‘Satu pihak saja jaga hubungan’ – Hadie Elfardie

Bukan sekadar perlu menghafal melodi dan lirik, Hadie berkata dia turut mengambil masa untuk memahami jalan cerita yang ingin disampaikan menerusi lagu ciptaan Jaja Ishak dengan lirik hasil tulisan Jaja bersama Herman Shah itu.

Menurutnya, Dusta Sebuah Cinta mengangkat kisah hubungan yang tidak seimbang apabila hanya sebelah pihak berusaha mempertahankan cinta.

Lagu ini mengenai satu hubungan yang sepatutnya sama sama menjaga, tetapi akhirnya hanya seorang saja yang berusaha. Tak kisahlah lelaki atau perempuan. Ia mengenai kisah cinta yang tidak kesampaian.

Saya orang pertama yang kena nyanyikan lagu ini. Jadi, nak dapatkan melodi, hafal lirik dan masuk dalam karakter lagu itu memang susah bagi saya.

Saya ambil masa lebih kurang lima bulan untuk betul betul dapatkan lagu ini dan sampaikan ceritanya.

Tempoh yang agak lama itu turut dipengaruhi rasa kurang yakin memandangkan Hadie masih baharu dalam industri muzik.

Berbeza dengan sebelum ini yang banyak menerima tunjuk ajar daripada individu lain mengenai tempo dan lenggok nyanyian, kali ini Hadie perlu belajar untuk lebih berdikari dalam membawakan karya tersebut.

Lima bulan itu memang ada rasa kurang yakin dan tak berani. Sebelum ini ada orang yang ‘guide’, dari segi tempo dan lenggok pun ada orang jaga.

Sekarang banyak perkara saya kena buat sendiri. Memang ada rasa ragu ragu dan takut. Tapi Alhamdulillah, ada mak saya dan Jaja Ishak yang boleh guide sedikit.

Minta pandangan Ina Naim

Dalam proses mencari identiti sebagai penyanyi, Hadie turut mendapatkan pandangan ibunya, Ina Naim mengenai cara ayahnya, Allahyarham Suhaimi mendalami sesebuah karya ketika masih aktif dalam bidang muzik.

Saya ada tanya ibu, kalau ayah dulu macam mana dia nak dapatkan sesebuah lagu?

Ibu banyak ingatkan saya supaya banyak dengar lagu sendiri supaya boleh dapat dan kenal lagu itu.

Pengalaman Allahyarham sebagai penyanyi turut menjadi salah satu rujukan buat Hadie dalam membentuk cara pembawaannya sendiri.

Arwah ayah melalui perjalanan daripada berkumpulan sehinggalah bergerak solo. Saya banyak hayati cara pembawaan lagu-lagunya.

Saya juga banyak bercerita. Kadang kadang bila pergi ke kubur, saya bercerita tentang hidup tanpa dia. Alhamdulillah, semuanya baik baik.

Dari segi persediaan vokal pula, Hadie memilih untuk mengamalkan rutin asas seperti menjaga pemakanan, mendapatkan rehat secukupnya dan memahami karakter setiap lagu yang dibawakan.

Saya ikut cara latihan, jaga pemakanan dan cuba menghayati lagu. Tak ada rahsia sangat, perkara asas yang artis lain pun buat seperti kurangkan ais, makanan berminyak dan banyak berehat supaya suara terjaga.

Sementara itu, kemunculan Dusta Sebuah Cinta diharap dapat menjadi titik baharu buat Hadie dalam meneruskan perjalanan seninya.

Meskipun masih dibelenggu rasa risau terhadap penerimaan peminat, dia menganggap penghasilan single sendiri sebagai satu pencapaian yang cukup bermakna.

Saya risau juga sebab cuba buat benda baharu, tetapi saya kena teruskan. Kalau ikutkan memang risau kalau makin lama makin tenggelam.

Dengan adanya single ini, saya harap ia boleh menaikkan semula nama saya.

Saya belum rasa lega selagi belum sampai sasaran dan belum cukup dikenali. Tetapi perasaan seronok itu memang ada sebab sekarang saya sudah ada single sendiri.