Peristiwa seorang gadis belasan tahun yang meninggal dunia di depan mata masih segar diingatan penyanyi yang juga bekas peserta program Akademi Fantasia 2 (AF2), Adam.

Artikel Berkaitan: ‘Bukan Sebab Tampil Dalam GenKRU’ – Adam AF2 Sudah Lama Rancang Buat Konsert, Tak Sabar Hibur Peminat Januari 2026

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Imej Terkini Adam AF2 Disamakan Dengan Zaman Muda – ‘He Is Back’

Peminat meninggal depan mata

Ketika ditemui OhBulan!, Adam atau nama sebenarnya Mohd. Aizam Mat Sama berkata, kejadian yang menyayat hati itu berlaku ketika sesi ramah mesra bersama peminat di sebuah premis acara di Selangor, sebaik tamat program AF2 pada 2004.

Banyak momen yang saya tak boleh lupakan ketika zaman kegemilangan AF, tapi paling membekas ialah apabila seorang peminat secara tiba-tiba tidak sedarkan diri selepas menerima tandatangan.

Dia gembira, kemudian terus terjatuh. Saya dapat tahu bahawa dia tidak boleh terlalu gembira kalau tak akan beri kesan pada jantungnya.

Selepas dibawa ke hospital, dia disahkan meninggal dunia. Saya sendiri sempat bertemu keluarganya ketika itu.

Ketika itu, album pertama pun belum keluar lagi. Ia detik yang cukup menyedihkan dalam hidup saya.

Adam berkongsi perkara tersebut ketika sesi sidang media konsert solonya yang diadakan di Shisha Town, Tamarind Square, Cyberjaya, baru-baru ini.

Lebih hargai peminat

Tambah pemenang tempat ketiga program AF2, peristiwa tersebut telah memberikan kesan yang sungguh mendalam dan mengajar dirinya untuk lebih menghargai peminat.

Sampai sekarang saya masih ingat. Tapi saya percaya itu sudah ajalnya, ketentuan daripada Allah.

Masa itu pun saya masih muda, baru 20-an. Memang terperanjat, tapi dari situ saya selalu ingatkan diri untuk menghargai insan yang baik di sekeliling saya.

Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan peminat, pelantun lagu ‘Benar-Benar’ memaklumkan ikatan mereka masih utuh sejak penglibatannya dalam AF2 hingga kini.

Mereka yang ada sekarang ini semuanya daripada kelab peminat sejak dulu. Kami sudah macam keluarga. Kadang tengok wayang, buat aktiviti bersama.

Bukan sekadar bergambar, malah hubungan lebih rapat daripada itu. Malah ada peminat saya yang kini sudah berkeluarga.

Dalam perkembangan lain, Adam bakal menjayakan konsert solo, Tukang Gempak Adam, di Galaxy Banquet Hall, Kuala Lumpur pada 24 Januari depan.

Menurut Adam, dia akan mengubat rindu para peminatnya dengan mempersembahkan rangkaian lagu daripada album pertama sejak 2005 termasuk beberapa karya baharu yang dihasilkannya sendiri.

Tiket kategori VIP dengan 20 tempat duduk berharga RM1,000 setiap satu dilaporkan sudah habis terjual, sekali gus membuktikan sokongan padu peminat terhadap penyanyi itu.

Namun begitu, anda masih berpeluang untuk membeli beberapa lagi kategori lain di laman web www.ticket2u.com.my