Penyanyi Mila Jirin tidak menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan isu kegagalan membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja selama lebih 10 bulan.

Artikel Berkaitan: Mila Jirin Perjelas Ambil Komposer Indonesia Untuk Single Terbaru – ‘Ada Mesej Ramai Komposer Malaysia Tapi Belum Diizinkan’ 

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Individu Dakwa Mila Jirin Gagal Dalam Industri Seni, Ini Respon Tuan Badan – ‘Inilah Masanya Untuk Saya Kembali…’

Tak bayar KWSP pekerja?

Ketika ditemui OhBulan!, Mila atau nama penuhnya Norsyarmilla Jirin, 39, berkata dia memilih untuk memberi tumpuan kepada usaha mencari jalan penyelesaian berbanding terus memikirkan masalah yang timbul.

Tambah Mila, tidak semua dakwaan yang tular mengenai dirinya adalah benar justeru memilih untuk tidak membuka ruang bagi membalas setiap ciapan yang dibuat.

Saya bukan majikan dari syurga tapi saya hargai usaha semua pekerja saya. Selalu saya tekankan, mereka punya kelebihan tersendiri dan kami ditakdirkan untuk bekerjasama.

Daripada saya fikir masalah, lebih baik saya fikir cara untuk selesaikan. Sebab itu saya tak pernah balas apa sahaja tuduhan di media sosial.

Bagi saya, ada betul dan salah. Ada potensi orang menambah-nambah cerita. Kalau kita menjawab, kita sebenarnya memberi ruang kepada perkara itu menjadi lebih besar.

Mila berkata demikian ketika  Majlis Perlancaran Lagu Tersimpan Dalam Hati di Bizmilla, Subang Jaya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mila berkata setiap syarikat pasti berdepan cabaran tersendiri yang perlu ditempuhi bersama oleh majikan dan pekerja.

Jelas Mila, pihaknya kini sedang menyelesaikan pembayaran kepada pekerja secara berjadual kerana kebajikan mereka sentiasa menjadi keutamaan dalam perniagaannya.

Dakwaan itu ada betul dan ada yang tidak.

Ada perkara yang ditambah, malah sebenarnya sudah pun kami selesaikan.

Paling penting, semua pekerja dilindungi akta, majikan tidak. Apa yang kita boleh uruskan, kita uruskan. Sekarang kami sedang membuat pembayaran secara berjadual.

Kami mengutamakan gaji pekerja dan semua kelebihan yang mereka dapat. Segala yang tertunggak juga kami akan uruskan.

Imbas kembali, nama Mila Jirin menjadi bualan di media sosial selepas didakwa gagal melunaskan hak pekerjanya.

Dakwaan itu pada awalnya mencetuskan tanda tanya apabila individu terbabit tidak mendedahkan identiti sebenar majikan yang dimaksudkan.

Namun, kebanyakan netizen mula mengaitkan kenyataan itu dengan pelantun lagu Tersimpan Dalam Hati tersebut.