Selepas sering membawakan watak wanita tersakiti, pelakon Ezzanie Jasny kini berhasrat untuk mencabar diri dengan mencuba genre drama yang berbeza pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan: Ezzanie Jasny Nafi Bercinta Dengan Lorenzo Irmann, Kekal Profesional – ‘Dia Seorang Kawan Yang Baik’

Ezzanie watak wanita tersakiti

Ketika ditemui OhBulan!, Ezzanie atau nama lengkapnya Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 27, berkata dia berharap tahun ini menjadi tahun terakhir melakonkan karakter yang sarat dengan emosi sebelum beralih ke naskhah berbeza.

Rasanya orang pun tahu, kalau cerita pukul pukul ni, memang wajah saya.

Tapi insyaAllah mungkin tahun ini tahun terakhir saya berlakon watak wanita tersakiti.

Kalau boleh tak mahu duduk dalam kepompong yang sama. Mungkin tahun depan saya nak tukar genre drama lain. 

Ezzanie berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Astro Fandom di D Theatre, Empire Damansara, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelakon drama Bulan Henti Bicara ini mengakui membawakan watak sedemikian bukan sahaja mencabar dari segi lakonan, malah menguji ketahanan emosi dan fizikal sepanjang menjalani penggambaran.

Kalau berlakon drama macam ni memang penat secara fizikal dan mental. Kalau balik rumah tu, memang burn out dan menangis. Memang penat sangat.

Mungkin tahun ini saya akan cuba habiskan untuk buat cerita-cerita berat.

Harap tahun depan saya berubah ke drama genre lain dan gembirakan jiwa semula dengan buat cerita-cerita romantik komedi.

Terbaharu, dia bakal muncul dengan sebuah lagi drama berjudul Bulan Henti Bicara bergandingan bersama Azar Azmi serta Azhan Rani.