![[VIDEO] Pernah Berhabis Hampir Setengah Juta Ringgit Untuk Kes Saman, Hafiz Hamidun Nasihat ‘Public Figure’ Lindung Nama & Imej](https://asset.ohbulan.com/2026/08/hafiz2.jpg)
Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun berkongsi pandangan berhubung isu segelintir pihak yang didakwa sewenang-wenangnya menggunakan nama selebriti tanpa kebenaran bagi tujuan pemasaran sesuatu produk.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hafiz Hamidun Kurang Selesa Digelar Pendakwah – ‘Gelaran Ini Datang Dengan Bebanan Yang Sangat Berat’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Anak Angkat Saya Sudah Mula Bertanya Siapa Ibunya’ – Hafiz Hamidun
Tindakan yang perlu diambil

Ketika ditemui OhBulan!, Hafiz atau nama lengkapnya Muhammad Hafiz Hamidun, 42, menasihati selebriti dan individu-individu terkenal agar mendaftarkan nama mereka di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi mengelakkan isu sedemikian timbul di masa akan datang.
Kita sebagai individu yang dikenali, kalau rasa perlu melindungi nama dan imej, kita buatlah apa yang patut.
Kalau perlu daftarkan dengan MyIPO sebagai ‘trademark’, maka buatlah.
Saya sendiri buat dan belajar benda itu. Kalau kita tak buat nanti orang guna dan kita marah, tapi kita sendiri tak lindungi diri.
Menurut Hafiz, perjuangan mempertahankan nama daripada disalahguna oleh sebuah syarikat tekstil sebelum ini telah memberi impak besar terhadap dirinya.
Sebelum ni memang tidak ada akta tentang itu. Dalam mahkamah saya masih ingat, mereka kata, “Kita pakai nama Hafiz Hamidun ini pada kain, kita tak pakai Hafiz Hamidun yang penyanyi.”
Saya daftar nama saya sebagai hak cipta, saya dah trademark nama saya. Nama saya di kelas 40 iaitu bidang kreatif. Tekstil pula di kelas 25, jadi takkan saya nak daftar nama Hafiz Hamidun dekat semua bidang?
Kalau ikutkan, orang boleh buat apa-apa nama tapi selepas dari itu, mahkamah memutuskan semua tak boleh dan tak dibenarkan. Pada saya itulah hikmahnya.
Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada sidang media album terbaharunya, Salawat The Beloved, yang berlangsung di Royal Chulan Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambah pelantun lagu Jodoh Berdua ini, meskipun kes tersebut telah menelan kos yang banyak, namun dia berpuas hati apabila kemenangan berpihak kepadanya dan isu itu turut dijadikan pengajaran untuk semua pihak.
Saya perjuangkan dan saya habis duit hampir setengah juga untuk bayar peguam.
Ketika itu saya tidak uar-uarkan tetapi keputusan mahkamah memihak kepada saya.
Tidak ada orang lain yang boleh menggunakan nama baik orang lain.
Bukan hanya pada artis semata-mata, tetapi personaliti, atlet, ahli politik dan orang-orang yang terkenal dan ada nama baik.
Tapi saya tak mahu memanjangkan isu ini kerana semuanya sudah selesai dan ia mungkin boleh dijadikan pengajaran.
Terdahulu, kes saman Hafiz tersebut kembali menjadi rujukan selepas maestro muzik Datuk M.Nasir bersama syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd bertindak memfailkan saman terhadap sebuah syarikat berhubung dakwaan menggunakan namanya tanpa kebenaran bagi tujuan promosi.
Untuk info, pada tahun 2017, Hafiz memfailkan saman terhadap sebuah syarikat tekstil kerana menggunakan nama komersialnya tanpa kebenaran. Hafiz kemudian memenangi kes saman itu pada 2018.
Namun, syarikat tersebut mengemukakan rayuan di mahkamah pada tahun 2020. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada tahun 2021, mengesahkan kemenangan memihak kepada Hafiz.






![[VIDEO] Tutup Salun Demi 40 Warga Emas, Diva M Anggap Amal Saham Akhirat](https://asset.ohbulan.com/2026/08/DIVA-M-2.jpg)
