Pengarah Duyung: Legenda Aurora, Prof Madya Datuk Dr A. Razak Mohaideen menjelaskan mengenai poster filem itu susulan menerima pelbagai respon dan kritikan daripada orang ramai.

Artikel Berkaitan: Maya Karin Dedah Kostum Duyung: Lagenda Aurora Dibuat Ikut Keselesaan Semasa Penggambaran

Artikel Berkaitan: Maya Karin Kongsi Foto ‘Shooting’ Filem ‘Duyung: Lagenda Aurora’, Netizen Terpesona Lihat Wajah ‘Bare Face’

Hanya gimik

Ketika ditemui OhBulan!, Razak, 60, memaklumkan bahawa poster tersebut merupakan sebahagian gimik promosi yang dilakukan untuk menarik perhatian penonton menyaksikan filem itu.

Poster itu memang gimik. Kita mahukan penonton lebih peka.

Kita mahu rakyat Malaysia menonton dan kita nak orang ramai bercakap mengenai filem ini. Jadi, ini adalah sebahagian daripada gimik.

Bila kita buat poster begitu, yang nak puji memang satu dua orang saja. Yang nak kecam memang ramai. Biar mereka tengok, kita buat ‘reverse’ psikologi pula.

Mengulas lanjut, Razak memberitahu bahawa selepas ini pihak penerbitan filem merancang untuk mengeluarkan poster baharu.

Pihak penerbit, KRU Studios dan Primeworks Studios (PWS), memang sudah dimaklumkan bahawa poster baharu akan dikeluarkan. Jadi, yang viral itu hanya umpan atau gimik sahaja.

Razak berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem tersebut yang berlangsung di GSC, Lalaport, Kuala Lumpur pada Rabu.

Tak ambil hati

Bagaimanapun, Razak tidak berkecil hati dengan kritikan yang dilemparkan terhadapnya dan menerangkan bahawa pembikinan sesebuah poster adalah dilaksanakan oleh pihak pemasaran dan bukannya pengarah.

Saya tak ambil hati sebab kalau orang faham pasal konsep industri bisnes ini, mereka akan tahu yang poster bukan pengarah buat. Pengarah hanya buat filem.

Saya tak ambil hati sebab kita tahu ilmu tu. Orang yang faham pasal bisnes perfileman dia tahu.

Kalau kat Hollywood atau Bollywood pun sama. Dia bahagian pemasaran yang akan buat perkara itu.

Jadi, lebih baik kita diam saja sebab orang yang faham dan berilmu, dia akan faham maksud sebenar di sebalik itu.

Terdahulu, semenjak tayangan promosi filem berkenaan, rata-rata warganet menyuarakan pendapat mereka berkenaan poster yang didakwa mempunyai rekaan grafik yang kurang menarik.

Untuk info, Duyung: Legenda Aurora adalah kesinambungan kepada filem Duyung yang ditayang kira-kira 17 tahun lalu.

Filem itu dibarisi pelakon-pelakon hebat antaranya Maya Karin, Saiful Apek, Yasmin Hani dan Yassin Yahya, Anna Jobling dan Ayie Floor88.


Bakal menemui penonton di pawagam 25 Disember ini, filem itu dihasilkan oleh KRU Studios bersama 8 Bit Studio dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi.