Pendakwah bebas, PU Syed tampil memberikan teguran kepada salah seorang pempengaruh popular di platform YouTube yang didakwa berseloroh berkaitan Nabi Muhammad SAW.

Artikel Berkaitan: Syahmi AI Team Minta Maaf, Perjelas Isu Didakwa Hina Agama

Teguran PU Syed

View on Threads

Menerusi hantaran di Threads, PU Syed atau nama lengkapnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak, menggesa pempengaruh berkenaan untuk segera bertaubat dan tidak lagi menjadikan figura agung, Rasulullah SAW sebagai bahan jenaka.

Ini satu kenyataan yang sangat teruk, kalau nak bergurau..perkara ini tidak betul sebab menggunakan ayat seperti itu.

Saya harap dia bertaubat kepada Allah SWT, tarik balik ayat itu dan jangan main-main.

Dalam masa yang sama, PU Syed turut menyelar tindakan pempengaruh tersebut di atas kenyataan yang disifatkan melampaui batas.

Kamu menyebut, ‘pada tahun 2026 tak ada orang ingat pada Nabi Muhammad SAW’, itu adalah satu ayat yang kufur.

Mana kamu belajar ayat seperti ini dan jadikan sebagai konten?

Siapa yang sediakan skrip itu, kamu spontan atau sengaja nak mempermain-mainkannya?

Selain itu, PU Syed juga memohon pihak berkuasa untuk memandang serius akan isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya.

Saya harap pihak berkuasa boleh kaji balik perkataan yang dikeluarkan olehnya dan ambil tindakan kalau betul dia mempermain-mainkan Islam.

Terdahulu, ahli kumpulan AIieff Irfan Team (AI Team) iaitu Muhammad Syahmi, yang didakwa mengeluarkan jenaka berkaitan Nabi Muhammad SAW telah tampil membuat permohonan maaf.

Sebelum itu, Syahmi menjadi bualan hangat di media sosial susulan tindakannya mengeluarkan kenyataan berbaur gurauan yang mendakwa menjelang tahun 2026 kemungkinan tiada lagi umat Islam yang akan mengingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sumber: Threads