Pelakon Emma Maembong meluahkan rasa kecewa apabila bekas kekasihnya, iaitu DJ Kidd, bertindak mendedahkan secara terbuka mengenai perpisahan mereka kepada umum.

Artikel Berkaitan: ‘Saya Tidak Lagi Bersama Dia’ – Hubungan DJ Kidd & Emma Maembong Sudah Berakhir?

Artikel Berkaitan: Emma Maembong Mengaku Pergi Kelab Malam, Support DJ Kidd ‘Spin’ – ‘Saya Masuk Dengan Gembira’

Terima dengan terbuka

Ketika ditemui OhBulan!, Emma Maembong atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail memilih untuk menerima segalanya yang berlaku dengan hati terbuka dan menyedari bahawa perasaan setiap orang tidak mampu dikawal.

Kalau boleh saya memang nak mengelak dan tidak suka nak berkongsi hal ini.

Tetapi memandangkan dia pun sudah buat kenyataan, jadi kita ikutlah.

Mestilah, ada sedikit rasa terkilan dan terasa sedikit bila DJ Kidd keluarkan kenyataan itu, tapi nak buat macam mana kan? Kita tidak boleh kawal hati orang.

Jadi, bila perkara ini terjadi, saya pun kena reda dan terima sahaja.

Emma Maembong berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Usanita yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur pada Khamis.

Hubungan masih baik

Berkongsi lebih lanjut, aktres drama Seadanya Kita itu menegaskan dia tidak menyimpan sebarang perasaan dendam dan lebih memilih untuk mengekalkan hubungan baik antara satu sama lain.

Tambah Emma, dia menyerahkan soal jodoh kepada takdir sama ada kembali bersama atau sebaliknya.

Kami ada berhubung sebab bagi saya, hidup ini singkat sahaja.

Saya pun tidak suka bermusuh atau marah-marah.

Kalau ada jodoh semula, adalah.

Kalau tiada, nak buat macam mana kan?

Dalam pada itu, dia menjelaskan bahawa setiap pengalaman yang dilalui menjadikan dirinya lebih matang malah tidak pernah menyesali perkenalan yang pernah terjalin.

Ujar ibu kepada dua cahaya mata ini lagi, dia juga tidak serik untuk mengenali sesiapa, namun buat masa ini lebih selesa untuk fokus kepada diri sendiri serta anak-anak.

Semakin saya besar, semakin saya matang.

Nak kata menyesal, tidak.

Setiap orang yang dipertemukan dengan kita itu mesti bersebab.

Itu juga menyebabkan kita jadi lebih matang dan membuatkan kita belajar erti kehidupan.

Nak trauma itu tak adalah dramatik sangat.

Nak cakap trauma pun tidaklah, saya pun dah pernah berkahwin dan pernah gagal juga.

Terdahulu, Emma mendedahkan dia dan suami iaitu Muhammad Shazli Azhar sudah bercerai secara baik pada tahun 2024.

Untuk rekod, Emma mendirikan rumah tangga dengan Shazli pada 20 Februari 2020.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shariq Gabriel, 5, dan Shakil Aryan Shah yang kini berusia dua tahun.