Selepas hampir tiga dekad berkecimpung dalam industri seni, pelakon, Rita Rudaini akhirnya berjaya menggenggam trofi anugerah Aktres Pembantu TV Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36.
Artikel Berkaitan: Rita Rudaini Ditemani Dua Anak Bujang Ke Malam Kemuncak ABPBH 36 – ‘Kami Harap Mummy Menang Sebab Mummy The Best’
Rezeki bawa anak bersama
Ketika ditemui OhBulan!, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad @ Mokhtar mengakui terkejut selepas namanya dinobatkan sebagai pemenang kerana calon-calon bagi kategori tersebut merupakan pesaing yang hebat.
Syukur Alhamdulillah, rezeki buat saya selepas hampir tiga tahun berkecimpung dalam industri seni.
Selain itu, saya rasa kemenangan saya adalah kerana rezeki saya bawa dua anak lelaki pada hari ini. Memang menggigil juga bila diumumkan sebagai pemenang.
Pesaing untuk pencalonan ini semuanya hebat-hebat. Sebenarnya bila saya tercalon di Top 10 pun saya dah terkejut. Saya macam, ‘Masih ada orang suka ke?’.
Kemudian tercalon pula Top 5, lagilah saya pelik. Tapi saya cakap pada diri, menang atau kalah semua itu adalah rezeki dan saya tetap gembira kerana masih relevan dan bakat saya masih dihargai.
Lagi pula, asalnya saya datang anugerah pada malam ini sebab bekerja (menyampaikan anugerah).
Rita berkongsi perkara tersebut pada sesi sidang media ABPBH 36 yang diadakan di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Jumaat.
Kemenangan adalah bonus
Tambah Rita, sebagai seorang pelakon dia sama sekali tidak berharap untuk memenangi apa-apa anugerah tetapi adalah menjadi satu bonus buatnya jika memenanginya.
Secara peribadi, lakonan itu memang jiwa saya jadi, saya okay saja kalau tak menang apa-apa. Tapi, kemenangan ini adalah satu bonus untuk saya.
Cuma, saya paling takut kalau orang dah mula lupa nama saya. Tapi Alhamdulillah, orang ramai masih lagi kenal saya sampai sekarang.
Ketika ditanya mengenai faktor kemenangan, pelakon yang terkenal menerusi filem ‘Mami Jarum’ mengakui segala isu tersebut sedikit sebanyak membantu dirinya untuk meraih kemenangan pada malam ABPBH 36.
Saya rasa segala kontroversi yang melibatkan saya sebelum ini sedikit sebanyak membantu kepada kemenangan saya ini.
Sebenarnya saya pelik juga bila setiap kali muat naik status di Instagram (IG) saja meletup, jadi tajuk media.
Saya nak juga bercakap dan buat status macam orang lain.
Kadang-kadang ada juga rasa nak senyap ja tetapi nanti rasa macam tak meriah pula media sosial itu. Cuma itulah, janganlah putar belit kenyataan saya.
Sekadar info, Rita berjaya meraih undian tertinggi dan menewaskan empat lagi calon lain bagi kategori Aktres Pembantu TV Popular iaitu Alya Iman, Amyza Aznan, Bella Hanna dan Puteri Sarah Liyana.