Pihak polis berjaya menahan tujuh individu termasuk tiga wanita disyaki terbabit dalam kes membaling botol kaca ke arah jalan raya dari balkoni sebuah kediaman di Jalan Cendana, Kampung Baru, baru-baru ini.
Baling botol kaca ke arah jalan raya
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, kesemua mereka berusia di antara 21 hingga 31 tahun itu, ditahan semalam dan hari ini di sekitar Dang Wangi.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada tujuh individu itu positif dadah jenis ketamin dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ujar Noor Dellhan lagi, dua daripada tujuh individu itu ditahan reman tiga hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 268/336 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Permohonan bagi lima individu lain ditolak dan akan dibebaskan.
Di samping itu, orang ramai yang menerima kesan daripada kejadian itu diminta untuk tampil membuat laporan polis di balai yang berdekatan.
Terdahulu, viral sebuah video yang memaparkan seorang lelaki membaling botol kaca dari balkoni dari sebuah premis kediaman ke arah jalan raya.
Sumber: Mohd Redzuan