Pempengaruh Iddin Ramli, tampil memberi penjelasan selepas dikecam warganet susulan tindakannya membaca doa dalam tempoh yang agak lama ketika sebuah program siaran langsung televisyen baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: ‘Tidak Mengapa Kalau Tak Mampu Tarawih, Baca Al-Quran & Sedekah Tapi Jagalah Solat Fardu’ – Iddin Ramli

Artikel Berkaitan: Iddin Ramli Mohon Tidak ‘Judge’ Jemaah Balik Selepas Solat Isyak – ‘Tarawih Itu Sunat’

Tidak sempat buat persiapan rapi

Menerusi satu hantaran video di TikTok, Iddin Ramli, 29, menjelaskan tempoh bacaan doa yang diberikan pihak produksi hanyalah sekitar dua minit.

Kata Iddin, dia tidak sempat membuat persiapan rapi kerana hanya menyedari mempunyai slot bacaan doa ketika dalam perjalanan ke studio.

Bagaimanapun, bacaan doa yang dibacakan juga bersifat sederhana dan tidak panjang seperti yang diperkatakan.

Saya berdoa pun awak kutuk seolah-olah saya membawa fitnah yang besar pada agama.

Ramai sangat orang yang mengata, cakap saya nak menunjuk-nujuk ketika berdoa, tidak beradab dan sebagainya.

Tempoh yang diberikan untuk saya bacakan doa itu selama dua minit.

Sebenarnya, saya pun baru perasan yang saya mempunyai slot untuk bacakan doa.

Dalam perjalanan ke studio, saya tengok semula tentatif yang diberikan, dan di bahagian bawah sekali baru perasan saya ditugaskan untuk membaca doa bagi program tersebut.

Jadi, saya tidak bersiap sedia dan doa yang saya bacakan itu juga tidak panjang, lebih kurang dua minit sahaja.

Kalau dua minit pun awak dah rasa lama, awak ada masalah dengan hidup sendiri.

Tapi saya faham juga kalau sewaktu siaran langsung, masa yang diperuntukkan satu minit dan kita baca doa selama dua minit, memang rancangan tersebut akan jadi panjang.

Akui silapnya tutup mata

Kata Iddin lagi, dia tidak mempunyai sebarang rujukan mengenai durasi bacaan doa bagi rancangan telivisyen tersebut kerana tidak sempat menonton lima episod terdahulu.

Namun dia telah dimaklumkan oleh pihak produksi agar membaca doa pada kadar sederhana.

Dalam pada itu, dia mengakui kesilapannya menutup mata ketika membacakan doa sehingga tidak menyedari arahan daripada kru produksi.

Sehubungan itu, Iddin berharap orang ramai dapat memahami konteks sebenar kejadian tersebut.

Saya tidak menonton episod-episod lepas rancangan tersebut yang sudah ditayangkan.

Jadi, saya tidak mempunyai rujukan.

Saya juga tidak tahu bacaan doa ini perlu dibacakan secara panjang atau pendek, kata mereka baca secara sederhana.

Ketika berdoa saya pun tidak perasan apa yang sedang jadi sebab saya tutup mata.

Itu memang salah saya, saya akui sehingga saya tidak nampak ‘floor manager’ dah bagi arahan untuk ‘roll’.

Sebenarnya, tidak ada masalah pun.

Janganlah cakap seperti saya ini musuh agama dan membawa kehancuran pada agama.

Kita semua pun tidak tahu konteks sebenar secara keseluruhan yang jadi.

Sumber: TikTok Iddin Ramli