Keperibadian pelawak dan pelakon, Zizan Razak yang gemar bersedekah serta membantu mereka yang memerlukan sering mendapat pujian ramai.

Artikel Berkaitan: Jack Tan Puji Zizan Razak Pemurah Di Set Penggambaran – ‘Kalau Dia Ada Kami Takkan Lapar’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Ustaz Kata Tidak Mengapa Kalau Tunjuk Sedekah’

Berkongsi rezeki

Ketika ditemui OhBulan!, Zizan atau nama lengkapnya Mohamad Razizan Abd Razak percaya bahawa rezeki yang dilimpahkan kepadanya harus dikongsi bersama orang lain dan memilih jalan sedekah dengan niat untuk membantu insan yang memerlukan.

Saya buat kerana Allah, apa yang saya ada hari ini pun bukan atas sebab saya semata-mata tetapi atas doa orang ramai, ibu bapa dan peminat saya.

Apa yang ada pada saya bukan milik saya seorang, jadi saya harus berkongsi ketika orang berada di dalam keadaan susah.

Kadang-kadang dalam RM10 yang kita ada, RM3 sahaja sebenarnya milik kita, selebihnya RM7 itu hak orang lain.

Menurut aktor berusia 41 tahun itu, dia tidak mahu kebaikan yang dilakukannya mendapat perhatian umum namun menerima dengan hati yang terbuka andai perkara tersebut dapat memberi tauladan yang baik.

Saya lebih suka sorokkan tetapi ada baiknya apabila kadang-kala Allah buka cerita ini bukan untuk saya rasa bangga tetapi untuk bagi inspirasi kepada orang.

Tetapi saya takut kebanggaan itu melalaikan saya namun saya harap ini dapat membuka mata. Kalau kita ikhlas akan ada rezeki-rezeki lain yang akan sampai.

Zizan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Polis Evo Wonda-Ful 10 Years yang berlangsung di TGV, KLCC pada Rabu.

Ambil kesempatan

Dalam masa yang sama, Zizan turut mengakui ada segelitir individu yang cuba untuk mengambil kesempatan terhadap kebaikkan yang dilakukannya.

Bagaimanapun, pelakon berasal dari Terengganu itu tetap bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk dia terus membantu mereka yang memerlukan.

Sebenarnya ramai yang mengambil kesempatan tetapi saya hanya mampu tersenyum.

Banyak (lebih ribuan ringgit). Ada juga yang saya dah bagi tetap dia minta lagi.

Saya kesiankan dia sebab katanya mak dia nak kena potong kaki tapi esok dia bertanya lagi. Jadi saya dah dapat agak yang ini mesti scam.

Selagi Allah bagi nafas dan masih sihat, saya rasa bersyukur sebab saya boleh cari rezeki.