![[VIDEO] Sering Ditegur ‘Chubby’, Qistina Khaled Susut 20kg Dalam Setahun – ‘Tak Cucuk Atau Potong Perut Tapi Diet Ekstrem’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/qistina-khaled-2.jpg)
Pelakon dan penyanyi Qistina Khaled mendedahkan berat badannya kini susut sebanyak 20 kilogram (kg) selepas menjalani diet secara konsisten selama kira-kira setahun.
Artikel Berkaitan: Qistina Khaled Lebih Berhati-Hati Dengan Kes Jenayah – ‘Tak Kongsi Lokasi, Buat ‘Live’ Hanya Di Rumah’
Qistina Khaled diet, susut 20kg

Ketika ditemui OhBulan!, Qistina, 22, mengakui antara faktor yang mendorongnya melakukan transformasi tersebut adalah teguran mengenai fizikalnya yang sering diterima ketika berada di set penggambaran.
Malah, teguran tersebut membuatkan dia mula terfikir sama ada faktor fizikal menjadi antara punca dia kurang menerima tawaran berlakon sebelum ini.
Setiap kali pergi ke set, mesti ada penerbit, pengarah atau kru yang tegur badan saya, kata saya berisi.
Dulu saya tidak kisah sangat apa orang nak cakap, tetapi bila saya fikir semula, mungkin perkara itu antara sebab saya kurang ke depan dalam industri.
Jadi mahu atau tidak, saya tetap lakukan diet yang agak ‘hardcore’. Saya ikat perut dan memang tidak makan. Kira-kira setahun juga untuk saya turun 20kg ini.
Qistina berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi drama Tertulis Kita Sampai Syurga di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur pada Rabu.
Qistina Khaled nafi buat bariatrik, cucuk

Mengulas lanjut, Qistina menafikan dakwaan segelintir pihak yang menyangka dia menggunakan kaedah tertentu seperti suntikan atau pembedahan bariatrik untuk menurunkan berat badan.
Memang ramai yang syak saya buat benda-benda itu, orang kata saya cucuk atau potong perut. Sebenarnya saya memang tidak buat semua itu.
Saya memang pernah sampai tahap kebuluran. Kalau lapar sangat, saya akan beli ayam goreng mamak untuk seharian itu dan makan sedikit-sedikit. Air pun saya kurang minum.
Saya memang tidak makan dan kesannya saya jadi gastrik. Sampai sekarang pun masih ada masalah gastrik yang teruk. Tenaga saya pun tidak macam dulu. Dulu saya sangat bertenaga, tetapi sekarang cepat rasa penat.
Dalam pada itu, Qistina mengakui perubahan fizikal yang dilakukannya turut memberi kesan positif terhadap kerjaya apabila dia mula menerima lebih banyak tawaran lakonan, termasuk peluang membawakan watak utama.
Alhamdulillah, bila berat badan sudah turun, barulah orang mula panggil saya sehingga dapat watak heroin. Orang mahu lihat benda yang cantik. Bukan netizen saja, pengarah dan stesen televisyen pun sama juga.
Dalam perkembangan lain, Qistina bakal membintangi drama Tertulis Kita Sampai Syurga yang akan mula ditayangkan pada 9 November depan di TV3.
Selain Qistina, drama tersebut turut menampilkan Shukri Yahaya dan Ramona Zamzam.







