Pengarah sensasi, Syamsul Yusof reda dengan keputusan menceraikan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana dengan talak satu.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Syamsul Yusof & Puteri Sarah Sah Bercerai, Talak Satu
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Mungkin Ada Berita Baik’ – Syamsul Yusof
Syamsul reda
Ketika ditemui Oh Bulan!, Syamsul berkata keputusan untuk berpisah diambil selepas memikirkan tentang masa depan anak-anaknya, Syaikul dan Sumayyah.
Jelasnya, dia menyifatkan perkara yang berlaku merupakan sebahagian daripada ujian hidupnya.
Alhamdulillah, hari ini semuanya sudah selesai. Kes perceraian hari ini berjalan lancar seperti yang kami bincang sebelum ini demi masa depan anak-anak. Kami (Syamsul dan Sarah) bercerai talak satu.
Selepas ini segala keperluan anak-anak akan ditanggung oleh saya. Bila difikirkan balik, segala perbincangan yang kami buat adalah tak lain tidak bukan adalah untuk anak-anak.
Apa pun, pada akhirnya, kalau kami hanya memikirkan diri kami berdua sahaja, ia akan memberi kesan terhadap anak-anak. Kalau berpisah dengan cara tidak baik tetap akan memberi kesan pada anak-anak. Ini pengakhiran yang baik.
Saya reda, ini semua ujian hidup dan ujian itu akan terus datang terutama sebagai seorang selebriti.
Syamsul berkata demikian usai prosiding pengesahan lafaz cerai yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Jadi kawan
Dalam pada itu, pengarah berusia 39 tahun itu berkata, dia dan Puteri Sarah akan kekal berkawan.
Hubungan selepas ini kami akan diteruskan sebagai kawan. Perbincangan kali ini tidak melibatkan orang luar atau media sosial.
Saya anggap ini ujian hidup untuk saya. Saya dan Sarah perlu kuat untuk semua ini. Semoga Sarah dapat teruskan kehidupannya lebih baik.
Bila-bila masa sahaja selepas ini saya boleh berjumpa dengan anak-anak. Raya Haji nanti pun boleh berbincang, kalau nak jumpa.
Dalam masa sama, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata dia juga ada berpesan kepada Sarah dengan mengatakan perpisahan yang berlaku bukan pengakhiran untuk hubungan mereka berdua.
Saya pesan pada Sarah jangan ingat ini pengakhiran segalanya. Kita akan selama-lamanya menjadikan anak itu sebagai ikatan. Dia tetap ibu kepada anak-anak saya. Saya akan sentiasa ada, mana yang boleh saya bantu, saya akan tolong.
Terdahulu sebelum melafazkan cerai itu, Puteri Sarah dan Syamsul dilihat bersalaman dan masing-masing kelihatan tenang.
Pada 25 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur dimaklumkan tiada ruang untuk Syamsul dan Puteri Sarah untuk berdamai dalam kemelut rumah tangga mereka.
Ini kerana Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang telah dibentangkan di mahkamah mengesahkan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu dan kewujudan pihak ketiga.
Dalam prosiding hari ini, Puteri Sarah diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili peguam syarie Azmi Mohd. Rais.
Pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini Puteri Sarah mengatakan proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.
Aktres itu berkata, tiada perkara yang perlu dirunding atau dibincangkan lagi memandangkan hatinya telah tertutup untuk berdamai selepas nekad mahu bercerai.
Kemudian pada 18 April lalu, pasangan itu sepatutnya merekodkan persetujuan penyelesaian yang dikatakan telah dicapai dalam satu pertemuan yang mana Syamsul juga akan melafazkan talak terhadap Puteri Sarah pada hari tarikh tersebut.
Bagaimanapun saman terhadap Ira Kazar dan pengurangan jumlah tuntutan nafkah anak antara yang menjadi penghalang kepada penceraian antara Puteri Sarah dan Syamsul.
Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.
Video
@ohbulanofficial Replying to @Hanna_Anna Soalan panas ea ?? Tapi ingat.. Puteri Sarah tetap menjadi ibu kepada anak-anak mereka ??#ohbulan #news #PuteriSarah #SyamsulYusof ? original sound – OHBULAN!