Kemelut rumah tangga pasangan selebriti Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana bakal berakhir apabila pengarah sensasi bersetuju untuk menceraikan isteri pertamanya pada 18 April depan.
Artikel Berkaitan: Syamsul Tenang Tiba Di Mahkamah, Puteri Sarah Harap Boleh Bawa Haluan Masing-Masing
Artikel Berkaitan: Puteri Sarah Mungkin Akan Failkan Nusyuz Terhadap Syamsul
Berkat bulan Ramadan
Ketika ditemui OhBulan!, Puteri Sarah bersyukur apabila akhirnya Syamsul bersetuju dengan permohonan penceraian yang diajukan.
Kata aktres berumur 38 tahun, dia dan Syamsul berjumpa pada Ahad bagi berbincang urusan rumah tangga mereka termasuk nafkah dan kedua cahaya mata.
Alhamdulillah kami dah berjumpa dan kami dah berbincang semua terma serta syarat. Apa yang saya dan dia mahu berkenaan anak-anak, nafkah dan sebagainya.
Malam semalam kami selesaikan semuanya juga. Alhamdulillah berkat bulan Ramadan dan solat tahajjud. Jadi semuanya dipermudahkan hari ini.
Kita sudah boleh teruskan dengan kehidupan masing-masing dengan tenang. Akhirnya semua selesai. Tak perlu nak pening-pening lagi.
Puteri Sarah berkata demikian sejurus usai prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Perseketuan, pada pagi Isnin.
Dalam pada itu, peguam syarie yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata kedua pihak sudah menyatakan persetujuan untuk bercerai.
Kedua-dua pihak sudah menyelesaikan masalah rumah tangga mereka secara aman dan baik. Jadi kita akan datang minggu depan untuk mengesahkan penjanjian itu dan lafaz cerai.
Tarikh baharu adalah 18 April depan, untuk mencari persepakatan mengenai terma-terma yang sudah pun dibincangkan. Pada hari itu, kita akan rekod di Mahkmah Rendah dan Mahkamah Tinggi kerana membabitkan anak-anak. Anak-anak adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Selepas lafaz cerai, kita akan rekod keMahkamah Tinggi untuk rekod berkenaan isu hadanah dan selepas itu kita akan jadikan perintah mahkamah.
Pada tarikh akan datang, Syamsul akan lafazkan cerai kerana sudah ada persetujuan.
Demi anak-anak
Bagaimanapun, Syamsul, 39, enggan mengulas lanjut berkenaan keputusan hari ini lalu menuju ke tempat letak kereta.
Semua sudah selesai. Ini semua demi kebaikan anak-anak. Saya tak nak cakap lebih-lebih.
Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof hadir ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Azmi Mohd Rais.
Terdahulu, media melaporkan sesi perdamaian antara Syamsul dan isteri pertama, Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), di sini, pada 24 Mac lalu, menemui jalan buntu.
Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.
Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.
@ohbulanofficial