Penceramah dan pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim menasihati golongan peniaga yang menjual di bazar Ramadan agar menghindari unsur gharar atau penipuan.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Tidak Dibenarkan Menyampaikan Kuliah, Jadi Saya Ambil Keputusan Tidak Lagi Mengajar di Pulau Pinang’ – Ustaz Kazim Elias
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Segala Bil Surau Kampung Dia Yang Bayar’ – Ustaz Kazim Elias Dedah Kebaikan Pelawak Asal Johor, Ramai Petik Nama Jep
Elak unsur gharar
Menurut Ustaz Kazim, peniaga hendaklah berlaku jujur dalam urusan jual beli dan menjaga kualiti kebersihan makanan demi kepuasan pelanggan.
Sejak berpuluh tahun kebelakangan ini bazar Ramadan cukup meriah, kalau dahulu zaman saya kecil tiada bazar Ramadan yang macam sekarang. Apabila sebut sahaja bazar Ramadan, ramai yang pakat nak berniaga.
Bagaimanapun saya minta kepada semua peniaga bazar Ramadan agar menjaga kebersihan dan tidak wujud unsur gharar (penipuan). Masak lah elok-elok, jangan sampai pelanggan menyumpah peniaga.
Disebabkan hanya beberapa peniaga tidak jujur dalam perniagaan, habis satu bazar Ramadan namanya terpalit jadi tidak elok. Kadang kala rungutan pelanggan dan orang awam ada betulnya juga.
Ustaz Kazim berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media perasmian Pelancaran Program Ramadan Mentadabbur Keindahan TV AlHijrah yang berlangsung di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, Ustaz Kazim turut berpesan kepada pelanggan dan orang awan agar tidak mewujudkan sesuatu cerita yang tidak benar sehingga mendatangkan fitnah kepada peniaga bazar.
Kepada pelanggan dan netizen pula, jangan mengada-adakan cerita yang tidak betul. Ada orang yang ingin menjatuhkan bazar Ramadan dia buat fitnah dan mencipta konten di media sosial semata-mata.
Kita berada di bulan Ramadan, jangan semata nak buat konten timbulkan fitnah kata kuih karipap inti angin atau sebagainya. Jangan jatuhkan perniagaan orang. Andai betul makanan itu ada yang tidak kena, nasihat dengan cara betul.