Drama Keluarga Itu makin rancak diperkatakan di media sosial selepas timbul dakwaan watak yang dibawa pelakon kacak, Fattah Amin sebagai Ansara seakan seperti realiti kehidupannya.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Fattah Amin Gembira Dapat Jumpa Fatima, Bakal Beraya Bersama Pada Hari Ketiga & Keempat – ‘Kami Bergilir-Gilir’

Artikel Berkaitan: Fattah Amin Nafi ‘Jual’ Kisah Peribadi, Tak Minta Diviralkan – ‘Bagi Saya Benda Tu Tak Ada Manfaat’

Ada sedikit persamaan

Menjawab dakwaan itu, Fattah tidak menafikan ada sedikit persamaan selepas membaca skrip yang ditulis oleh penerbit terkenal, Erma Fatima.

Bagaimanapun, Fattah, 34, menekankan dia sebagai pelakon hanya menjalankan tanggungjawab bagi menjayakan watak Ansara.

Itu kena tanya penulis skrip, saya tak boleh nak jawab. Saya pelakon, saya diberikan skrip untuk melakonkan watak itu.

Mengenali Erma Fatima, dia akan bagi skrip di saat akhir. Kita tahu keseluruhan cerita tetapi mengenai watak secara terperinci akan tahu ketika sudah berada di set penggambaran.

Bila saya baca, baru saya nampak ada sedikit persamaan. Saya tak pasti berapa peratus, tak boleh nak cakap. Tetapi ada sedikit persamaan.

Macam biasa kalau kita buat satu cerita, akan ada disclaimer tidak kaitan dengan yang hidup atau sudah meninggal dunia.

Nak cakap kebetulan, saya tak pasti. Itu idea penulis skrip. Saya bila diberi tanggungjawab, saya melakonkan watak itu sebaik mungkin.

Fattah berkata demikian ketika ditemui di Majlis Berbuka dan Solat Terawih yang dianjurkannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Cerita, watak sama berat

Tambah pemilik nama Abdul Fattah Mohd Amin, dia mengakui watak Ansara agak berat dibawa namun seronok diberi peluang bekerjasama dengan barisan pelakon hebat.

Cerita itu berat, watak pun berat. Tetapi saya seronok dapat berlakon dengan barisan pelakon hebat.

Dalam pada itu, bapa kepada Nur Fatima Aisya berasa puas hati apabila penonton mendalami jalan cerita yang disampaikan sehingga beremosi.

Setahu saya banyak cerita-cerita melayu yang inspired by a true story. Cerita anak derhaka atau suami isteri bergaduh.. Itu standard cerita melayu, kita dah boleh jangka.

Cuma jalan cerita yang penting. Penonton kalau boleh tak nak dihidangkan dengan jalan cerita yang sama.

Saya nampak Keluarga Itu dia ada kelainan, kekuatan sendiri untuk dibawa dalam cerita ini.

Bila penonton sendiri dapat rasa emosi dan faham jalan cerita, saya sebagai pelakon rasa puas hati drama lakonan sendiri disambut baik.

Saksikan Keluarga Itu setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3. Strim juga 24 jam lebih awal di Tonton atau aplikasi Tonton.