berita

Viral Ustazah Didenda Merangkak Dalam Kelas, Dr Maszlee Luah Rasa Kecewa Sikap Melampau Ibu Bapa

February 25th, 2020 | by Arini Saleh
Isu & Kontroversi

Tindakan biadap seorang wanita ‘menghukum’ ustazah merangkak di dalam kelas mengundang rasa marah orang ramai. Wanita tersebut dipercayai tidak berpuas hati gara-gara anaknya didenda. Di dalam video viral tersebut, dapat dilihat ustazah berbaju kurung putih dan bertudung hitam merangkak sambil disaksikan pelajar di dalam kelas.

Ini biadap

Tindakan seorang wanita menghukum ustazah dengan niat memalukan telah mencetuskan rasa marah guru yang lain. Guru, Mohd Fadli Salleh tidak bersetuju dengan tindakan keterlaluan ibu bapa yang membalas dendam bagi pihak anak dengan cara sedemikian. Malah, perkara ini turut mendapat perhatian bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

‘Saya berasa sangat kecewa’ – Dr Mazlee

Sebagai seorang yang pernah berada sangat dekat dengan guru-guru dan seringkali mendengar luahan mereka, kejadian ini sangat-sangat menyedihkan saya.

Hati saya berasa kecewa setelah melihat video tersebut. Sehingga pada awalnya saya tidak percaya, adakah ini fake news?

Apakah yang telah terjadi dengan masyarakat kita hari ini?

Seorang guru ialah seorang insan yang tinggi martabatnya. Kita tidak jadi siapa yang kita jadi hari ini tanpa insan bernama “guru”.

Tidak sepatutnya kejadian seperti ini berlaku ketika kita telah masuk ke dalam tahun 2020 hari ini. Kepada semua rakan guru di luar sana, saya mohon anda semua bersabar. Kepada para ibu bapa juga saya mohon, semua untuk mengambil masa merenung dan berfikir sejenak.

Isu ini harus kita tangani dalam keadaan berhemah, mengambilkira tingginya martabat seorang guru dan adab sopan santun yang telah kita amalkan sejak dari dahulu sebagai norma masyarakat.

Tidak rugi jika kita mengambil sedikit masa merenung dan bersabar. Kerana di akhirnya, apa jua tindakan kita seharusnya adalah untuk satu tujuan iaitu – mendidik anak-anak kita agar menjadi manusia yang bermanfaat di masa hadapan.

Semuanya adalah untuk agama, bangsa serta negara yang kita cintai juga.

Sumber : Dr Maszlee Malik