berita

Wan Maimunah Sedih, Ditawar RM200 Berlakon Telefilem

April 11th, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Pelakon veteran, Wan Maimunah meluahkan rasa kecewanya selepas ditawarkan dengan bayaran serendah RM200 untuk membintangi sebuah telefilem, bulan lalu.

Artikel Berkaitan: Bayaran Tidak Setimpal Jadi Punca Faizal Hussein Tolak Tawaran Berlakon Iklan Antarabangsa

Kesal tiada jalan penyelesaian

Memetik laporan Harian Metro, Wan Maimunah turut menekankan bahawa isu mengenai bayaran rendah ditawarkan kepada pelakon veteran ini bukanlah satu berita yang baru namun, masih belum ada jalan penyelesaian yang mampu dibuat bagi menyelesaikan masalah ini.

Saya tidak merajuk dan masih sayangkan karier lakonan ini kerana sudah sebati dengan diri. Tapi, bila fikirkan bayaran tidak setimpal dan amat rendah, lebih baiklah saya duduk di rumah dan berehat. Rezeki Allah itu luas dan ada di mana-mana.

Cuma, rasa sedih itu membuat hati saya sebak mengenangkan RM200 saja ditawarkan untuk berlakon sebuah telefilem. Jumlah babak mesti banyak dan sudah tentu memenatkan. Tapi, tak apalah memang bukan rezeki saya.

Wan Maimunah yang terkenal dengan gelaran pelakon drama air mata itu walau bagaimanapun mendedahkan bahawa dia tetap percaya dengan rezeki yang sudah tertulis kepadanya.

Saya tetap yakin Allah selalu bersama hamba-Nya yang tidak putus berdoa. Setakat ini untuk makan minum saya masih mampu diurus. Malah, kalau keluar makan di luar sekali-sekala pun, akan ada orang yang saya tidak kenali membayarnya.

Tahu-tahu saja sudah dibayar. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang baik hati itu dan mendoakan agar terus dimurahkan rezeki. Sesungguhnya, Allah membantu kita dalam banyak cara yang tidak diduga.

Dalam pada itu, Wan Maimunah turut berpendapat bahawa dia lebih sanggup untuk menerima tawaran daripada syarikat produksi baharu untuk berlakon dalam sebuah filem pendek kerana bayaran yang ditawarkan kepadanya jauh lebih baik jika hendak dibandingkan dengan syarikat produksi lama.

Untuk info, Wan Maimunah kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama yang diarah oleh pengarah hebat, Rashid Sibir yang sudah mengenali pelakon itu sejak dari bangku universiti lagi.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×