berita

Wanita Baru 3 Hari Kahwin Maut Kemalangan, Suami Dedah Isteri Sering Tersenyum Sepanjang Perjalanan

November 13th, 2019 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Viral di media sosial semalam, apabila tujuh buah kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 317.2 Lebuhraya Utara Selatan. Menurut laporan Astro Awani, dua orang disahkan maut dalam kemalangan tersebut. Mangsa yang maut merupakan seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

14 orang mangsa yang terlibat

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, selain dua kenderaan tersebut, kenderaan lain yang terlibat ialah dua treler, dua lori, tiga buah kereta. Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terlibat ialah 14 orang termasuk dua orang kanak-kanak. Terbaru menerusi laporan Harian Metro, kedua-dua identiti mangsa yang maut sudah berjaya dikenal pasti iaitu Salwati Yaakob dan Beh Xiu Zhung.

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila treler muatan kertas yang dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur, ketika tiba di tempat kejadian hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang Perodua Axia yang berada di hadapannya.

Treler itu seterusnya melanggar bahagian kiri Honda Accord dan kemudian bergesel dengan treler muatan gula di bahagian kanan sebelum melanggar Mitsubishi Pajero dan impak daripada pelanggaran itu mengakibatkan pacuan empat roda berkenaan terhimpit antara treler muatan kertas dengan lori penghantaran barang pos. Lori penghantaran barang itu kemudian melanggar belakang Perodua Myvi yang berada di hadapan.

Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, selain dua orang maut dalam kemalangan tersebut, tiga orang mangsa lain turut cedera. Seorang pemandu treler yang berusia 52 tahun ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan. Ujian air kencing dan sampel darah turut diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

Baru 3 hari kahwin

Menurut suami kepada mangsa maut Salwati Yaakob, ketika kejadian tersebut, mereka sebenarnya dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Sungai Buloh, Selangor untuk majlis resepsi sebelah pengantin lelaki yang dijadualkan pada 23 dan 24 November ini. Menurut Azman, isterinya suka tersenyum dan melihatnya memandu sebelum kemalangan tersebut berlaku.

Sudah tentu saya sedih kerana kami baru melangsungkan pernikahan Sabtu lalu, namun saya reda walaupun sedih dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tapah.

Tambahnya, segala persiapan bagi majlis di pihaknya sudah disediakan termasuk bapanya sudah menempah lembu serta lebih 500 kad undangan sudah diedarkan. Menurut ibu Salwati, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum bertolak ke Selangor pada 6 petang semalam dan mereka sempat berborak seperti biasa.

Inai masih merah

Menerusi Facebook Azam Abdullah, lelaki ini meluahkan perasaan sedih selepas mengetahui rakannya iaitu Salwati, maut dalam kemalangan tersebut. Menurutnya, rakannya itu baru tiga hari mendirikan rumah tangga dan mereka masih belum sempat berjumpa walaupun dirinya hadir ke malam sebelum kenduri tersebut. Azam turut memohon doa supaya rakannya itu ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan di syurga Allah.

Sumber: Astro Awani, Harian Metro & Azam Abdullah

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×