Seorang wanita Vietnam berusia 75 tahun mendakwa dia tidak makan sebarang makanan pejal dalam tempoh 50 tahun, sebaliknya hanya bertahan dengan minuman ringan sahaja.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Wanita Usia 71 Tahun Masih Aktif Panjat Pohon Duku, Digelar ‘Tok Minah Nenek Atas Pokok’
Tidak pernah mengidam
Menerusi laporan Oddity Central, Bui Thi Loi menegaskan bahawa dia telah hidup dengan air dan minuman ringan selama setengah abad dan tidak pernah mengidam makanan pejal.
Semuanya bermula pada tahun 1963 apabila dia disambar petir ketika sedang mendaki gunung untuk merawat tentera yang cedera semasa perang menyebabkannya tidak sedarkan diri selama beberapa hari.
Disebabkan dia tidak menjamah apa-apa makanan selepas sedar daripada koma, rakan-rakannya memberikan air manis kepadanya.
Beberapa tahun selepas kejadian tersebut, Bui Thi Loi hanya makan buah-buahan sahaja selepas didesak oleh keluarga dan rakan-rakannya.
Wanita berusia 75 tahun itu mendakwa bahawa bau makanan sahaja sudah cukup untuk membuatnya loya, walaupun dia selalu memasak untuk anak-anaknya ketika mereka membesar.
Menurut doktor dari Jabatan Pemakanan di Hospital Persahabatan Vietnam-Cuba di Dong Hoi, minuman ringan manis membantu mengisi semula tenaga badan dengan cepat pada masa yang diperlukan dan menyokong fungsi sistem penghadaman badan.
Walau bagaimanapun, mereka menekankan bahawa minuman ringan berbahaya untuk kesihatan manusia dan boleh membawa kepada masalah seperti obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi, dan penyakit kardiovaskular.
Sumber: Oddity Central