Penyanyi Wany Hasrita menghitung hari bakal menerima ahli baru dalam keluarga tidak lama lagi.
Artikel Berkaitan: Wany Hasrita Hamil 6 Bulan, Jadi Beremosi Berjauhan Dengan Suami
Tak jadi bersalin di Sarawak
Ketika ditemui OhBulan!, Wany menyatakan usia kandungannya sudah memasuki 31 minggu. Kata penyanyi berumur 30 tahun, dia sudah menukar perancangan untuk bersalin dan berpantang di Kuala Lumpur saja.
Alhamdulillah saya sihat dan kandungan sudah menjengah usia 31 minggu. Insya-Allah, saya akan melahirkan anak ini Julai depan.
Selepas berfikir, saya akan melahirkan anak ini di ibu negara. Sepatutnya, di Kuching kerana mudah bagi suami tidak perlu bercuti lama.
Namun, selepas meneliti perancangan, akhirnya suami boleh ambil cuti sebulan. Jadi, dapatlah suami jaga saya sepanjang tempoh berpantang itu.
Wany berkata demikian ketika majlis rumah terbuka anjuran penyanyi, Nabila Razali, yang diadakan di Setia Eco Templer, pada Ahad.
Mental kuat
Dalam pada itu, pemilik nama Nurshazwany Hasrita Hasbullah bersyukur kerana ibunya menjadi peneman dan penenang setia sepanjang suami tercinta, Mohd Al-Adib Fahmi Harun berkhidmat di Sarawak.
Saya bernasib baik ada ibu bersama saya. Dari awal saya sudah diterapkan proses kehamilan ini tidak senang dan juga sukar. Semuanya bergantung kepada diri dan mental sendiri.
Apabila susah, saya cuba senangkan. Jadi, semuanya berbalik kepada diri sendiri. Sedih memang sedih, namun kena hadapi. Pasti ada kala emosi tidak stabil tetapi saya tidak mahu susahkan suami, emak pun risau. Alhamdulillah, saya tidak meroyan.
Terdahulu, Wani berkahwin dengan Mohd. Al-Adib Fahmi Harun pada 22 Julai di Glam Hall, Damansara Perdana, Selangor.