Program bual bicara Women Talk kembali mengisi slot hujung minggu dengan musim kesembilan yang membawa pembaharuan dari segi kandungan dan barisan hos.

Women Talk Musim 9

Pada musim ke-9 ini, penonton bakal disajikan dengan gandingan Diana Danielle dan Nadia Heng sebagai wajah utama program. Malah gabungan kedua-dua hos ini mampu memberikan dinamika berbeza dalam setiap episod.

Program bual bicara ini diterbitkan di bawah seliaan Penerbit Eksekutif Nur Irjuana Mohd Ishar bersama Penerbit Elaine Daly dan dijadualkan mula bersiaran pada 9 Mei 2026, setiap Sabtu jam 5 petang di TV3.

Women Talk merupakan sebuah platform yang membuka ruang perbincangan mengenai isu wanita dan pada musim kesembilan, program ini akan terus menampilkan evolusi dengan pendekatan lebih segar serta topik realiti semasa.

Untuk musim ini, penonton bakal disajikan dengan pelbagai topik yang menyentuh kehidupan wanita masa kini, termasuk pengurusan kewangan, peluang menjana pendapatan, cabaran membesarkan anak, serta aspek kesihatan emosi dan penetapan batas diri.

Isu berkaitan dunia digital seperti privasi dalam talian dan fenomena ‘cancel culture’ turut menjadi antara fokus utama.

Sebanyak 13 episod berdurasi 30 minit akan disiarkan, dengan setiap perbincangan dirangka agar lebih praktikal dan mudah difahami.

Menariknya, musim kali ini turut diperluaskan di luar siaran televisyen menerusi aktiviti komuniti seperti sesi Pilates dan ruang interaktif, sekali gus memberi peluang kepada penonton untuk lebih dekat dengan program ini.

Women Talk Musim 9 dijangka terus menjadi platform yang relevan dan memberi inspirasi, selari dengan perubahan gaya hidup serta cabaran wanita masa kini.