berita

Wujud Kecederaan Di Bahagian Tengkorak & Usus, Bayi 2 Tahun Maut Dipercayai Didera Ibu Kandung

January 15th, 2020 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Kes penderaan mengakibatkan bayi dan kanak-kanak dilihat semakin serius dan menjadi-jadi sehingga ke hari ini. Apa yang menyedihkan, perbuatan ini seolah-olah dilakukan tanpa sedikit pun rasa belas kasihan oleh si pelaku sehingga sanggup mengorbankan nyawa insan yang tidak berdosa.

Terbaru di Johor, seorang bayi yang baru sahaja berusia 2 tahun dilaporkan telah meninggal dunia akibat didera oleh dua individu yang tidak bertanggungjawab.

Didera oleh ibu kandung

Menerusi laporan Berita Harian, mangsa yang merupakan seorang kanak-kanak perempuan itu dipercayai telah didera oleh ibu kandung dan teman lelaki ibunya sendiri.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, doktor yang merawat mangsa mengesyaki bahawa wujud unsur penderaan daripada kecederaan yang dialami oleh kanak-kanak malang itu.

Katanya, hasil pemeriksaan fizikal yang dilakukan mendapati terdapat kesan lebam di kedua-dua belah tangan dan juga perut mangsa.

Selain itu, terdapat juga kesan gigitan di bahagian tangan kiri dan kanan mangsa.

Beliau memaklumkan, mangsa telah meninggal dunia kira-kira jam 12.10 tengah hari Isnin lalu, ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail akibat masalah jangkitan kuman.

Terdapat banyak kesan cedera

Terdahulu Mohd Taib berkata, mangsa telah dimasukkan ke hospital pada Ahad lalu oleh ibunya kerana mengalami masalah jangkitan kuman yang serius.

Bagaimanapun katanya, hasil bedah siasat yang dilakukan terhadap mangsa mendapati terdapat beberapa siri kecederaan pada badan kanak-kanak kecil itu.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan pada bahagian tengkorak dan usus si mati akibat hentakan objek tumpul.

Katanya susulan daripada laporan bedah siasat tersebut, pihaknya mempercayai bahawa kematian mangsa mempunyai unsur jenayah.

Ekoran itu, kedua-dua suspek sudah berjaya ditangkap polis kira-kira jam 3.54 pagi semalam dan direman selama tujuh hari.

Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu berada di bawah jagaan teman lelaki ibu mangsa ketika wanita tersebut yang bekerja sebagai operator kilang keluar untuk pergi bekerja.

Sumber: Berita Harian, Harian Metro

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×