Pelakon, Yusuf Bahrin berpegang dengan pendirian untuk tidak terlalu kerap memuat naik gambar bersama isteri yang juga penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana di media sosial.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Yusuf Bahrin ‘Prepare’ Kejutan Istimewa Di Rumah Buat Zizi Kirana

Artikel Berkaitan: ‘Saya Pun Tak Ada Kekuatan Macam Zizi Kirana’ – Yusuf Bahrin

Penyakit ain

Bukan kerana tidak bahagia, Yusuf, 33, berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah berhati-hati selain percaya wujud penyakit ‘ain’ yang berpunca daripada sifat hasad dengki manusia.

Saya ambil langkah untuk tidak terlalu kerap memuat naik gambar bersama isteri. Bukanlah langsung tiada, ada juga saya kongsi, tetapi tidak terlalu kerap.

Saya memilih untuk tidak terlalu menunjukkan kehidupan peribadi saya, termasuk hal berkaitan dengan isteri dan keluarga.

Kalau perhatikan, gambar ibu bapa atau adik-beradik saya pun jarang ada. Kalau waktu raya pun, mungkin satu gambar sahaja.

Saya percaya pada perkara yang dipanggil ‘ain’. Ia bukanlah sihir, tetapi hasad dengki. Apabila ada orang yang mempunyai perasaan dengki terhadap kita, boleh memberi kesan kepada diri atau keluarga.

Tambah Yusuf, penyakit ‘ain’ tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana bersifat ghaib, namun kesannya tetap wujud dan boleh dirasai.

Kalau kita terlalu kerap menunjukkan gaya hidup atau kebahagiaan kita seperti pergi makan bersama atau berkongsi momen manis, ada orang yang suka, tapi ada juga yang tidak.

Jadi, untuk elak perkara tidak diingini, lebih baik saya kurangkan. Biarlah kebahagiaan itu hanya kami dan orang terdekat yang tahu.

Tambah pelakon filem The Lord Musang King itu, dia juga mengakui apa sahaja yang dilakukan di media sosial pasti akan menjadi bahan bualan, sama ada berkongsi gambar bersama Zizi atau tidak.

Kalau tidak memuat naik apa-apa pun, orang tetap akan bercakap. Sekarang ini seolah-olah kita perlu ‘berkiblatkan’ netizen pula. Saya tidak begitu.

Bukan saya menolak pandangan netizen sepenuhnya, ada juga perkara yang mereka katakan itu betul. Tapi ada juga yang suka mengecam tanpa sebab, malah cuba mengatur cara hidup orang lain.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai jawapan Zizi yang mengatakan tiada sebarang kejutan diterima selepas pulang dari menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Yusuf menjawab mereka tidak akan menghebohkan perkara tersebut.

Saya cakap dia jangan beritahu kepada sesiapa tentang kejutan tersebut. Saya juga tidak akan muat naik kejutan itu di media sosial. Antara kami berdua sahaja.

Dalam perkembangan lain, Yusuf bakal muncul dengan drama terbaharu terbitan TV3 berjudul Perempuan Tidak Ternikah.

Selain Yusuf, naskhah tersebut turut dibintangi Siti Elizad, Ali Rezark, Shah Jazle dan ramai lagi.