Pelakon, Zahirah MacWilson tampil memohon maaf susulan kenyataannya sebelum ini yang menyentuh mengenai sambutan beberapa perayaan agama lain sehingga mengundang kecaman netizen.

Artikel Berkaitan: #ThrowbackXTRA: ‘Jangan Terlalu Obses Dengan Kerjaya’ – Watak Ibu Kehilangan Anak Ubah Perspektif Zahirah Macwilson Tentang Kehidupan

Tiada niat

Zahirah atau nama sebenarnya Nur Zahirah MacWilson Zainol MacWilson, 31, menegaskan dia tidak berniat untuk menyakiti hati atau memperlekeh kepercayaan serta kefahaman mana-mana pihak.

Malah, Zahirah mengakui masih dalam proses mendalami ilmu agama dan turut mengambil inisiatif membuat kajian mengenai kepercayaan pemganut lain.

Pertama sekali, saya ingin memohon maaf sekiranya hantaran tersebut menyinggung perasaan sesiapa. Saya sudah memadam hantaran itu tidak lama selepas dimuat naik supaya tidak menimbulkan lebih banyak salah faham.

Saya tidak pernah berniat untuk menyakiti atau menyinggung kepercayaan sesiapa. Saya masih dalam proses mempelajari agama dan kepercayaan, malah sejak itu saya turut membuat kajian, bukan sahaja mengenai kepercayaan sendiri, tetapi juga agama serta kepercayaan orang lain.

Tambah isteri kepada aktor Aiman Hakim itu, dia berasa keliru apabila maklumat yang diperoleh menerusi pembacaan seolah-olah tidak selari dengan perkara yang diperhatikan dalam kehidupan seharian.

Saya mendapati fakta seolah bercanggah dengan perkara diperhatikan. Tujuan hantaran itu bukan untuk menyasarkan sesiapa, sebaliknya sekadar meluahkan persoalan kerana masih cuba memahami perkara tersebut.

Islam mengajar saya supaya berlaku adil, berbuat baik dan bersikap saksama terhadap orang lain, bukannya menghina sesiapa.

Terdahulu, Zahirah mencetuskan kontroversi selepas berkongsi pandangan mengenai sambutan beberapa perayaan termasuk Krismas, Easter dan Halloween yang disifatkannya sebagai sukar difahami.

Malah, dia turut mempersoalkan beberapa amalan sepanjang sambutan tersebut, antaranya kanak-kanak mengenakan kostum tertentu, meminta gula-gula atau coklat serta duduk di atas pangkuan lelaki lebih berusia.

Perkongsian itu bagaimanapun menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang menyifatkan kenyataan Zahirah sebagai tidak sensitif kerana menyentuh amalan dan kepercayaan penganut agama lain.

Sumber: Instagram