Selepas hampir dua dekad mengabdikan diri dalam dunia lakonan, pelakon dan pengarah Zahiril Adzim tampil dengan filem sulung arahannya berjudul Martabat: Misi Berdarah, yang diinspirasikan daripada pengalamannya selama 19 tahun dalam industri seni tanah air.

Artikel Berkaitan: Bayaran Tertangguh, Zahiril Adzim Kongsi Pengalaman Bekerja Dengan Produksi Hadapi Masalah Kewangan – ‘Seharian Kami Makan Menu Sardin’

Artikel Berkaitan:  [VIDEO] Netizen Tegur Tak Elok Bercakap Waktu Makan, Zahiril Adzim Respon – ‘Saya Kena Betulkan, Sunnah Makan Adalah Bercakap’

Pengalaman selama 19 tahun

Menurut Zahiril atau nama lengkapnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 41, karya itu menggambarkan realiti sebenar yang berlaku di sebalik tabir dunia lakonan dan merupakan satu sisi yang jarang dilihat oleh masyarakat umum.

Filem Martabat: Misi Berdarah ini merupakan pengalaman saya selama 19 tahun dalam industri seni. Itu apa yang saya perhatikan di set penggambaran setiap hari dari hari pertama saya jadi pelakon.

Itu yang saya nampak tapi ada juga babak dalam filem ini yang saya tambah atau reka.

Zahiril turut menekankan bahawa filem tersebut tidak sekadar menampilkan kisah pelakon, tetapi juga menghargai jasa dan pengorbanan krew belakang tabir yang sering terlepas pandang.

Kadang-kadang krew di belakang tabir tidak meluahkan apa yang mereka rasa. Apa yang bagusnya di Malaysia ini kita tiada kasta, dimana artis dan krew boleh lepak dan bersembang sekali.

Semasa bersembang tu, kita dapat tahu mereka (krew) sebenarnya penat tapi mereka tidak mengeluh atau meluah.

Jadi, dari situ beri saya inspirasi untuk menulis bersama penulis skrip yang lain.

Begitu juga dengan pelakon tambahan yang bermacam-macam perangai. Saya dulu pun bermula sebagai pelakon tambahan dan sekarang saya tengok ada pelakon tambahan yang bersama-sama saya dulu dah berjaya.

Zahiril berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan gala filem Martabat Misi Berdarah di Mid Valley pada Selasa.

‘Saya tak takut filem ini dikritik’

Zahiril turut menyatakan bahawa dia tidak gentar sekiranya ada pihak menuduh filemnya menyindir sesetengah individu dalam industri.

Saya tak takut filem ini diktirik atau dianggap memerli pelakon lain, itu sebenarnya yang saya nak. Saya bukan nak menyindir atau buat mereka terasa, tapi mungkin filem ini ada relate dengan pengalaman sesetengah individu.

Ujar Zahiril lagi, Filem Martabat: Misi Berdarah juga boleh dilihat sebagai satu usaha untuk membuka mata masyarakat tentang kepayahan di sebalik pembikinan sesebuah naskhah.

Mungkin selepas menonton filem ini, penonton yang tidak terlibat dalam industri seni juga mungkin akan faham masalah apa yang dihadapi oleh pelakon, krew produksi dan sebagainya.

Dari situ mereka akan tahu bagaimana susahnya untuk menghasilkan sesuatu naskhah.

Mengulas tentang inspirasi dan perjalanannya sebagai pengarah, Zahiril menyatakan filem Layar Lara banyak mempengaruhi arah penceritaannya. 

Dia juga sempat ‘berguru’ dan mendapatkan pandangan daripada beberapa pengarah hebat tempatan sebelum memulakan projek sulungnya ini.

Filem pertama saya ini saya mengambil inspirasi daripada naskhah Layar Lara, sebuah cerita yang menceritakan orang tengah buat penggambaran tentang filem (filem dalam filem).’

Sebelum mengarah, saya banyak berjumpa dengan rakan pengarah di Malaysia yang saya kagumi. Saya bertanya bagaimana mereka boleh tahu genre filem yang sesuai dan mereka pun ada cerita ambil masa tiga tahun untuk cuba pelbagai genre.

Inilah yang saya cuba buat. Saya belum pandai untuk jadi pengarah hebat seperti mereka tapi saya tahu, saya kena mula. Hari ini saya sudah mula (jadi pengarah filem).