berita

Zed Zaidi Menuduh Tanpa Usul Periksa?

September 4th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Menerusi laporan pihak media mStar Online hari ini, seorang pengarah drama Michael Ang telah melahirkan rasa kecil hatinya terhadap Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi. Perkara ini timbul apabila Zed Zaidi telah mempersoalkan kemunculan pelakon dari negara seberang, Randy Pangalila yang didakwa bekerja tanpa permit, termasuklah ketika dia muncul dalam rancangan Randy! Oh My Raya di saluran Astro Ria baru-baru ini.

Menurut Michael Ang, Zed Zaidi seharusnya menghubungi dirinya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan media dan menuduh Randy yang bukan-bukan. “Zed sepatutnya berjumpa atau menghubungi saya untuk bertanyakan tentang isu ini. Bukannya “main redah” saja nak buat kenyataan kepada media. Ia dilihat seolah-olah Zed terlalu mengejar publisiti.”

“Bukankah lebih mudah jika dia bertanya kepada saya terus tentang status Randy. Boleh saja saya jelaskan kerana saya yang membawanya ke sini (Malaysia) untuk drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang (disiarkan di Astro Ria pada tahun lalu).” ujar Michael Ang.

Pada minggu lalu, menerusi akaun Twitter Zed Zaidi, beliau telah mempersoalkan tentang kehadiran Randy sebagai rakyat Indonesia yang diberikan satu program khas Hari Raya berjudul Randy! Oh My Raya. Selain itu, Zed turut mempertikaikan keahlian Randy dalam Persatuan Seniman. Di mana seorang individu tersebut wajib menyertai Persatuan Seniman sekiranya ingin terlibat dalam produksi di negara ini.

Apabila perkara sebegini timbul, ia membuatkan Zed Zaidi menganggap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), telah terlepas pandang mengenai prosedur wajib yang dikenakan bagi pelakon luar negara yang ingin bekerja di Malaysia, begitu juga dengan pihak produksi yang mengambil mudah tentang isu berkenaan.

Bagi Michael Ang, Zed Zaidi berhak untuk mempertikaikan sebarang perkara yang dilihat boleh merosakkan industri hiburan tempatan, namun begitu beliau seharusnya selidik atau bertanya dahulu  kepada orang yang bekenaan sebelum membuat sebarang tindakan.

Menerusi isu yang ditimbulkan oleh Zed Zaidi ini, ia langsung tidak menghalang Michael Ang untuk terus mengambil pelakon dari luar negara untuk berlakon dalam dramanya, sekiranya perlu pada masa akan datang.

Michael Ang kini baru selesai mengarahkan sebuah lagi telefilem yang membabitkan Randy dan Elfira Loy yang berjudul Dalam Hati Ada Taman. Telefilem ini akan disiarkan pada Oktober depan di saluran Astro Ria.

SKIP THIS AD ×