
Pelakon Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin daripada tiga pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM2.8 juta.
Artikel Berkaitan: Zizie Izette Bangga Anak Tiri Kini Ahli Parlimen Kinabatangan – ‘Giliran Naim Teruskan Impian Arwah Bapanya’
Artikel Berkaitan: ‘Awak Terlalu Baik, Saya Masih Tak Percaya Awak Dah Tak Ada’ – Zizie Izette
Zizie Izette dilepas, dibebas
Keputusan itu dibuat selepas Hakim Rosli Ahmad mendapati pihak pembelaan berjaya mewujudkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas Zizie.
Sebaik sahaja keputusan dibacakan, Zizie dilihat sebak sebelum menangis dan ditenangkan oleh ahli keluarga yang berada di mahkamah.
Sementara itu, Zizie meluahkan rasa lega selepas melalui tempoh perbicaraan yang panjang selama tujuh tahun.
Saya harap suami saya berada di sini bersama saya. Saya membayangkan beliau berada di sebelah saya ketika keputusan diumumkan.
Kes berkenaan berkaitan dakwaan rasuah melibatkan suaminya ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Zizie didakwa membantu Bung Moktar mendapatkan wang tunai berjumlah RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid.
Wang tersebut didakwa sebagai balasan bagi mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan bernilai RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Pertuduhan kedua, ketiga
Bagi pertuduhan kedua pula, Zizie didakwa bersubahat memperoleh suapan sebanyak RM262,500 melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan menggunakan namanya.
Sementara pertuduhan ketiga melibatkan jumlah RM337,500 yang didakwa diterima daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ).
Kesemua pertuduhan itu didakwa berlaku di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati pada Jun 2015 dan didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohd Fadhly Mohd Zamry, manakala Zizie Izette diwakili barisan peguam K Kumaraendran, M Athimulan serta Ridha Abdah Subri.
Sebelum ini, pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen turut melepas dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada pertuduhan sama selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes susulan pemergiannya pada 5 Disember 2025.
Sumber: Sinar Harian