Terkejut dan tidak percaya. Itulah reaksi kami apabila membaca berita sedih tentang kematian mengejut pelawak terkenal, Harun Salim Bachik pada petang semalam.
Allahyarham dikatakan meninggal dunia di kawasan Rehat dan Rawat Bukit Merah Perak ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Penang.
Artikel Berkaitan: Harun Salim Bachik Meninggal Dunia
Untuk maklumat anda semua, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Muda Batu Caves selepas Zohor hari ini.
Mari sama-sama kita imbas kenangan-kenangan ditinggalkan oleh Allahyarham yang akan sentiasa tersemat di hati kita semua.
Drama ‘Rumah Kedai’ Yang Legend
Drama ini boleh dikatakan sebagai batu loncatan buat Allahyarham. Drama bersiri sebanyak 30 episod ini disiarkan khas pada setiap hari dalam bulan Ramadan. Allahyarham memegang watak sebagai Remy dalam drama yang berterusan selama 6 musim pada tahun 1993. – Arkib Negara X
Penghibur Versatile, Keluar Album Judul ‘Belilah’
Sebagai seorang penghibur sejati, Allahyarham tak pernah kenal erti putusa asa untuk mengasah bakatnya. Pada tahun 1996, Allahyarham Harun Salim Bachik mengeluarkan satu album berjudul ‘Belilah’. Antara lagu hits dalam album tersebut ialah ‘Banjir’.
Menang Di Anugerah Skrin 2001
Bukan sahaja mampu membuatkan penonton tak henti ketawa dengan jenaka, malah Allahyarham juga memang seorang pelakon yang handal apabila pernah memenangi kategori Pelakon TV Lelaki Terbaik Di Anugerah Skrin 2001 menerusi drama ‘Hangatnya Salju Dinginnya Bara’.
Lawak Tak kering Gusi Sebagai ‘Boboi’
Rasanya ramai yang masih ingat dengan lawak bersahaja Allahyarham yang bergabung dengan Afdlin Shauki membentuk kumpulan ‘Boboi’ untuk Maharaja Lawak Mega. Kalau tak, masakan mereka mampu menggondol naib juara di pertandingan realiti televisyen itu kan?
Perjuang Nasib Anak Seni Dalam Seniman
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik mengakui tidak akan mempertahankan jawatannya sekarang pada pemilihan ahli jawatankuasa penggal baru ketika Mesyuarat Agung Seniman, 26 Mei ini.
Bagaimanapun, Harun menegaskan keputusan dibuat itu, bukan kerana perseteruannya dengan Pemangku Timbalan Presiden Seniman, Zed Zaidi atau desakan dari mana-mana pihak.
Katanya, dia nekad berundur kerana merasakan tidak boleh memberi komitmen sepenuhnya terhadap persatuan tersebut disebabkan kesibukan kerja dan mempunyai masalah kesihatan.- Sinar Harian, 8 Mei 2012
Tiada Di Dunia, Sentiasa Di Hati
Walaupun Allahyarham sudah meninggal dunia. Segala jasa dan pengorbanannya sama ada secara peribadi mahupun untuk kemajuan industri hiburan Malaysia sudah tentu tidak akan dilupakan oleh penggiat seni yang lain. Pemergiannya yang tidak dijangka ini pasti dirasai oleh semua orang.