Sejak kes perceraiannya dengan bekas suaminya, Engku Emran selesai pada bulan Februari, Erra Fazira terus-menerus dihambat gosip mengenai teman pengganti.
Masa di awal tempoh perceraiannya dahulu, ada yang mengatakan bahawa dia bakal kembali kepada Awie yang kebetulan mengalami masalah rumahtangga. Malah, ramai peminat pun suka jika mereka kembali bersama.
Namun, terkini ada pula yang mendakwa bahawa ibu tunggal itu sedang bercinta dengan golongan VVIP. Tapi, betul ke jejaka pilihan Erra tu adalah merupakan individu sosialit?
“Sejujurnya, jika ditanya tentang soal berkawan, ya, saya akui memang kini sedang berkawan rapat dengan seseorang. Namun, apabila ada cerita mengatakan lelaki tersebut adalah daripada golongan atasan, itu tidak benar sama sekali.
Pada saya, jika berkawan, saya tidak menjalinkan sesuatu hubungan itu berdasarkan atas nama, pangkat atau harta. Saya lebih selesa memilih untuk berkawan dengan orang biasa.
Apa yang penting individu tersebut merupakan seorang yang baik dan boleh menerima diri saya seadanya, itu sudah cukup. Saya tidak suka jika dikaitkan dengan mana-mana orang atasan kerana semua itu tidak benar dan itu merupakan satu cerita yang sengaja diada-adakan.”
Ha.. nampaknya Erra memang dah mengaku sedang rapat dengan seseorang menerusi temubualnya dengan Kosmo! Online. Tapi, bukanlah daripada golongan VVIP. Jadi, siapa gerangan lelaki tersebut ya?
“Maaf jika saya katakan, saya tidak boleh kongsikan siapakah dia. Cukuplah sekadar saya ceritakan bahawa dia seorang lelaki biasa. Lagi pula, kami baru sahaja saling mengenali antara satu sama lain.
Bercakap soal peringkat perhubungan pula, saya rasa tidak perlu diceritakan dengan lebih lanjut. Pada usia saya yang semakin meningkat kini, saya rasa saya juga berhak untuk berkawan dengan sesiapa sahaja yang saya selesa bersama. Itu hak dalam hidup seseorang.”
Bak kata pepatah ‘patah tumbuh hilang berganti’. Kami doakan agar hubungan Erra dengan jejaka misteri itu berkekalan hingga ke jinjang pelamin