Teriakan peminat semasa konsert ‘Where The Heart Is’ sudah cukup membuktikan bahawa Dato’ Siti Nurhaliza masih lagi bergelar penyanyi nombor satu Malaysia.
Mana taknya, konsert yang diadakan di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 dan 8 Februari yang lalu itu dipenuhi dengan ribuan peminat tegar Dato’ Siti.
Menariknya, konsert yang bertujuan untuk mengutip dana bagi Yayasan Nurjiwa itu telah diberi sentuhan unik dengan menerapkan konsep penceritaan pahit manis kehidupan insan bergelar Dato’ Siti, termasuklah kisah cintanya.
Vokal Dato’ Siti masih mampu memukau peminatnya di Konsert ‘Where The Heart Is’
Antara lagu yang didendangkan pada malam itu ialah ‘Kesilapanku Keegoanmu’, ‘Jerat Percintaan’, ‘Nian Di Hati’, dan ‘Kau Kekasihku’.
“Lagu-lagu yang Siti bawakan pada malam ini adalah daripada pilihan peminat sendiri. Secara rasminya ini adalah pertama kali yang Siti tanya pada peminat secara terang-terangan lagu apa yang mereka mahu. Siti nak rasa lebih dekat dengan jiwa peminat yang tak pernah jemu menyokong Siti.”
Eksklusif buat peminatnya, Dato’ Siti turut membawakan lagu terbarunya berjudul ‘Jaga Dia Untuk Ku’ yang dikatakan merupakan lagu luahan rasa cintanya terhadap Datuk K.
“Lagu ‘Jaga Dia Untuk Ku’ ini siap pada hujung tahun lepas. Lagu ini ciptaan daripada Aubrey Suwito dan lirik oleh Rozi Sangdewi. Memang banyak peristiwa bermakna yang berlaku semasa proses rakaman lagu ini dan ianya mengambil kisah hidup saya sebagai sumber inspirasi.”
Hazama telah tampil sebagai artis jemputan
Dato’ Siti turut menampilkan penyanyi lelaki popular, Hazama sebagai artis jemputan untuk berduet menyanyikan lagu medley Inggeris iaitu ‘Stand up’, ‘Remember You’ dan ‘Just Give Me The Reason’. Selain itu, Hazama juga turut membuat persembahan solo dengan mendendangkan lagu hitsnya iaitu ‘Relakan Jiwa’.
“Saya kagum dengan Hazama dan saya sememangnya menggemari vokal uniknya. Jadi, saya rasa seronok dapat mempelbagaikan bakat baru yang berkongsi pentas dgn saya.”
Menurut Dato’ Siti lagi, hasil keuntungan bersih daripada konsert ini akan disumbangkan sepenuhnya untuk dana Yayasan Nurjiwa.
“Banyak sebenarnya badan-badan atau perseorangan dan juga rumah anak yatim yang memohon bantuan daripada pihak Yayasan Nurjiwa. Saya memang mahu terus menderma, tapi oleh kerana dana kurang, sebab itu saya adakan konsert ini untuk kumpul dana. Kami akan menilai mana yang paling memerlukan.”
Dalam pada itu, Dato’ Siti memberitahu bahawa dia bakal mengadakan konsert di Singapura pada bulan April depan. Penyanyi tersohor itu juga akan membuat persembahan di Hotel Royale Chulan bersempena dengan minggu sekretari. Apakata, jom kita lihat beberapa video konsert tersebut yang telah dimuatnaik oleh peminatnya.
Foto Ehsan : Faisol Mustafa