Jejaka berusia 35 tahun yang mula menceburi bidang nyanyian menerusi ‘Indonesian Idol 2’ ini nyata sudah ada kelompok peminatnya yang tersendiri di Malaysia.
Mula terkenal dengan lagu hitsnya iaitu ‘Setengah Mati Merindu’ dan ‘Aku Yang Tersakiti’, penyanyi ini khabarnya mahu mencari pembantu peribadi (PA) menjelang konsert Judika ‘Mencari Cinta’ yang bakal berlangsung di KL Live pada 12 April depan.
Berita ini disahkan sendiri oleh Pengarah USC, Iman Tang dan memaklumkan penyanyi itu mahu mencari dua orang PA daripada kalangan peminat Malaysia yang bakal membantunya di konsert tersebut.
Sidang media pengumuman konsert Judika ‘Mencari Cinta’
“Peminat tidak tahu cabaran dan kesukaran bergelar PA. Jadi kami adakan satu peraduan mencari PA untuk Judika di konsertnya nanti. Tugasan meliputi pakaian, bertemu media sampailah hari konsert sebenar. Jadi ini merupakan peluang keemasan untuk mendekati penyanyi kesayangan mereka.”
Selain itu, Judika yang dijangka bakal menyanyikan lebih kurang 20 lagu itu juga bakal berduet bersama lagenda rock tanah air, Amy Search.
Mesti anda sudah tidak sabar menghitung hari konsert bukan? Tunggu apa lagi, mari kita dapatkan tiket di www.ticketpro.com.my yang dijual pada harga RM98 untuk aras bawah dan RM168 untuk VIP.