Percintaan yang terjalin antara Farawahida dan Abdul Shukur selama 8 tahun nyata telah banyak mengajar mereka untuk mengenali hati budi masing-masing serta menerima pasangan seadanya.
Oleh itu, tidak menjadi masalah buat suami kapada pelantun lagu ‘Tanpamu’ ini untuk membenarkan isterinya meneruskan kerjaya sebagai seorang penyanyi.
Semalam, ketika ditemubual di majlis resepsi di Shah Alam, Farawahida yang tampil anggun dengan dua busana berwarna putih dan merah itu berkata bahawa suaminya banyak mendorong dirinya untuk memajukan diri dalam karier.
Konsep musim luruh ditampilkan di majlis resepsi Farawahida dan Abdul Shukur
“Dia tahu siapa Fara, apa kerjaya Fara dan rasa cukup memadai bila dia boleh terima Fara. Bagaimanapun, Fara akan menjaga tatasusila sebagai seorang isteri dan juga jaga maruah suami. Fara cuba jadi isteri yang terbaik. InsyaAllah.”
Suaminya, Abdul Shukur juga turut menambah bahawa dia tidak akan mengenakan sebarang pantang larang atau syarat terhadap isterinya itu.
“Mana yang kurang saya akan tegur dan tidak akan mudah melatah apabila timbul isu negatif. Saya kena faham kerjaya dia. Untuk melarang atau mengongkong Fara bukan resipi hidup saya.”
Ditanya mengenai soal cahaya mata, mereka berdua memberitahu bahawa sememangnya mengharapkan kehadiran orang baru secepat mungkin memandangkan usia mereka sudah hampir mencecah ke angka 30an.
Walaubagaimanpun, atas sebab kesuntukan masa, pasangan merpati dua sejoli ini masih tidak sempat merancang percutian bulan madu mereka. Namun, mereka berhasrat mahu melancong ke Jepun dan menikmati bulan madu semasa musim luruh.