Kebanyakan peminat tersentuh hati apabila pengarah filem terkemuka Syamsul Yusof tetap meneruskan niatnya untuk menikahi Puteri Sarah Liyana pada 8 Mac yang lalu walaupun dirinya sedang menghidapi penyakit demam denggi.
Pernikahan yang berlangsung di Masjid Al Mukarramah, Bandar Sri Damansara berlangsung dengan lancar walaupun tangan Syamsul dilihat masih menggunakan drip hospital dan harus mengambil ubat seperti yang dijadualkan oleh doktor.
Artikel Berkaitan:
Terkini, menurut laporan mStar, Syamsul dikatakan telah sembuh sepenuhnya dan sedang berbulan madu di Pulau Pinang bersama isteri kesayangannya itu.
Foto saat Syamsul Yusof sah bergelar suami kepada Puteri Sarah Liyana
Ibu Syamsul, Datin Patimah Ismail turut memaklumkan bahawa kad undangan majlis persandingan anaknya yang dijadualkan bakal berlangsung pada 18 April di Dewan Perdana Felda telah pun mula diedarkan.
“Alhamdulillah, setakat ini persiapan berjalan dengan lancar. Malah Syamsul juga sudah sembuh daripada penyakit demam denggi dan mereka pun sudah berbulan madu ke Pulau Pinang.
“Pada 18 April nanti, majlis persandingan akan dihadiri seramai 1,000 orang tetamu manakala pada 20 April, kami turut mengadakan majlis di rumah bersama keluarga yang dianggarkan seramai 1,000 orang tetamu juga.”
Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana masih tinggal bersama Datin Patimah
Datin Patimah turut menambah bahawa buat sementara waktu, Syamsul dan Sarah masih tinggal bersamanya kerana kediaman baru Syamsul di Ukay Perdana masih belum siap sepenuhnya.
“Buat masa ini, meriahlah rumah kami kerana kedua-dua anak lelaki saya bersama menantu pun ada sama. Rasa seronok pula apabila anak-anak berkumpul di rumah.”
Datin Patimah juga berharap agar semua pihak dapat mendoakan semoga majlis yang dirancang akan berjalan dengan lancar.