berita

10 Kisah Paling Menakutkan & Misteri Di Kota Bangkok Yang Ramai Orang Tak Tahu

November 13th, 2019 | by Amat
Kini Trending

Jika sebelum ini kita asyik disajikan dengan pelbagai kisah dan pengalaman menarik apabila berkunjung ke negara Thailand. Tahukah anda, disebalik keindahan dan kemodenan negara Gajah Putih itu terdapat pelbagai kisah mistik yang ramai tidak tahu.

Sebenarnya kota Bangkok menyimpan pelbagai kisah misteri dan seram yang menakutkan di beberapa lokasi terbiar di bandar itu. Mengikut kepercayaan masyarakat Thai, mereka percaya akan kewujudan hantu ‘Tai Hong’ iaitu semangat jahat yang masih tinggal bersama untuk menghantui mereka.

Wat Pai Ngoen

Misteri penemuan 2,002 mayat bayi oleh seorang lelaki apabila menjumpai seekor anjing menggongong sebuah beg plastik di mulut. Lelaki itu turut melihat anjing tersebut memakan mayat bayi berkenaan. Sehingga kini, berita tersebut masih meninggalkan kesan buat rakyat Thailand.

Kes ini telah dilaporkan kepada pihak polis tempatan pada tahun 2010 untuk menyiasat Wat Pai Ngoen itu. Apabila mereka memasuki lokasi berkenaan, mereka telah menemui kira-kira 2,002 beg plastik putih yang diisinya bayi.

Pembuangan bayi berkenaan dipercayai berpunca daripada remaja yang melahirkan anak luar nikah. Lalu, mereka bertindak untuk membuang anak itu ke dalam sebuah lubang yang telah disediakan. Dipercayai sehingga ke hari ini penduduk berdekatan masih terdengar bunyi suara kanak-kanak ketawa dan menangis di sekitar kawasan itu.

Ajarn Chuan Ashram

Menurut kisah benar rakyat tempatan, seorang Sami yang terkenal dengan ilmu hitam telah bina ratusan patung manusia termasuk figura kanak-kanak, monster dan mahkluk ajaib. Ratusan figura patung itu diletakkan di sekitar tempat pertapaan (ashram) tersebut.

Lebih mengerikan lagi apabila mengetahu patung-patung berkenaan diperbuat dan dicampurkan dengan rambut, tulang dan kulit yang bertatu dari manusia.

Anda juga tidak dibenarkan untuk masuk ke kawasan itu selepas waktu matahari terbenam sebab dikatakan patung-patung itu boleh ‘hidup’. Kini, kawasan ashram itu sudah tiada penjaga hingga menyebabkan kawasan itu ditumbuhi semak dan figura di sana telah dililit dengan tumbuhan menjalar.

Perempuan berbaju putih di Thawi Watthana

Tragedi mistik ini berlaku sekitar tahun 2015 apabila 7 remaja lelaki memberanikan diri ke sebuah rumah misteri di daerah Thawi Watthana, Bangkok. Dalam keadaan mabuk, sekumpulan remaja itu telah ke lokasi kejadian dengan niat untuk menjejaki rumah berhantu itu.

Sebaik sahaja tiba di sana, mereka terlihat terdapat dua buah rumah di hujung jalan. Sebelum tiba ke dalam, lampu depan rumah itu terpadam secara tiba-tiba sebelum membuat keputusan untuk meninggalkan lokasi itu.

Selepas 3 bulan dari kejadian tersebut, 2 dari 7 orang remaja itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Menurut saksi kejadian, dia ternampak seorang perempuan berbaju putih menunggang motosikal bersama mereka.

Beberapa tahun kemudian, 2 dari remaja itu pula meninggal dunia dan saksi turut terlihat kelibat wanita berbaju putih sebelum remaja ini terbabit dalam kemalangan.

Peristiwa malam countdown di Santika Pub

Malam sambutan tahun baru, countdown 2009 bertukar tragedi apabila Santika Pub terlibat dengan kebakaran besar hingga melibatkan kehilangan lebih 60 nyawa dan 100 orang tercedera.

Sebelum kejadian malang itu, terdapat beberapa petanda aneh telah diberikan, namun, tiada seorang pun mengendahkannya. Antara petanda itu adalah staf beri CD dengan cover hitam kepada setiap pengunjung, website pub itu menggunakan grafik api sebagai tema dan nama kumpulan band pada malam itu bernama ‘Burn’.

Lebih menakutkan lagi, tapak pembinaan Santika Pub ini adalah lokasi sebuah rumah pembunuhan. Malah, segelintir penduduk pernah terdengar suara ‘roh’ menjerit meminta pertolongan dari lot tanah itu.

Tanah perkuburan bas di Soi Saiyud

Soi Saiyud telah menjadi tempat pelupusan kenderaan yang tidak boleh digunakan lagi. Lokasi ini juga menjadi tempat pelupusan bas yang pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga meragut ramai nyawa orang.

Lokasi ini sering berlakunya perkara aneh ketika detik malam. Seorang pemandu teksi terlihat ada orang melambai tangan kepadanya tetapi apabla berhenti disitu, tiada orang pula.

Bukan hanya itu sahaja, penduduk disekitar kawasan itu pernah membuat aduan kepada pengawal keselamatan yang mereka terdengar suara orang menyanyi sambil gelak ketawa dan memukul gendang. Apabila diperiksa, tiada pula kelihatan sesiapa.

Lebih takut lagi apabila pengawal keselamatan itu terlihat sekumpulan remaja menaiki sebuah bas sambil bergembira.

Menara Thai Zhong

Bangunan Thai Zhong yang memiliki 32 aras ini telah meragut sekurang-kurangnya 5 nyawa. Bangunan ini terletak di sebelah lebuh raya Bang Na-Trad. Selama 20 tahun bangunan ini ditinggalkan, terdapat beberapa kematian yang berlaku termasuk 3 individu bunuh diri di lokasi berkenaan.

Malah, ada juga yang mengantungkan diri sendiri akibat putus cinta dengan meninggalkan sepucuk surat di lokasi kejadian.

Menurut segelintir individu yang memandu berdekatan kawasan berkenaan pernah terlihat figura manusia berwarna hitam yang terjun dari bangunan tersebut berulang kali. Mengikut kepercayaan rakyat tempatan, roh si mati dihidupkan semula untuk mengulangi perbuatan itu sebagai bayaran kepada dosa mereka. Kini, bangunan tersebut telah bertukar menjadi kondominium untuk penginapan.

Rumah pelacuran dihantui di Kanchanaburi

Rumah pelacuran di negeri Kanchanaburi ini telah lama ditinggalkan dan lokasi ini juga telah dikunci kerana terdapat banyak kes yang melibatkan pembunuhan wanita dan bayi. Bangunan ini terdapat pelbagai bilik termasuk bilik untuk melanggan pelacur disitu, manakala bilik kecil dipercayai untuk mengurung kanak-kanak. Barangan peribadi wanita di setiap bilik masih tidak disentuh oleh sesiapa.

Lokasi ini juga terdapat laluan bawah tanah dan tidak ada sesiapa pun tahu kegunaannya kerana tiada sesiapa pun yang berani untuk turun. Ada yang mengatakan laluan itu adalah untuk aktiviti perdagangan wanita yang telah diculik.

Penduduk juga pernah jeritan dan tangisan dari suara wanita dan kanak-kanak dari lokasi kejadian. Apabila memasuki bangunan itu, mereka gagal menemui sesiapa.

Jelmaan wanita di Jambatan Sungai Bang Pakong

Kejadian mistik ini berlaku sekitar tahun 2018 apabila seorang pemandu terlihat kelibat wanita berbaju merah menghampiri bahu jambatan di Sungai Bang Pakong.

Individu ini terlihat wanita berbaju merah itu telah melompat ke dalam ibu sungai itu sebelum dia bertindak menyelamatkan wanita berkenaan.

Terdapat lebih 60 kes cubaan bunuh diri di lokasi kejadian. Rata-rata daripada mereka terlihat seorang wanita duduk di atas gerabak kereta api sambil melambaikan tangan sebelum jelmaan wanita itu melompat. Kesemua mangsa punyai rasa yang sama untuk mengikut jejak wanita berbaju merah itu. Dipercayai jelmaan wanita berbaju merah itu mempengaruhi mangsa untuk membunuh diri.

Perkuburan berhantu di Wat Don

Pa Cha Wat Don adalah tempat misteri yang paling menakutan. Lebih dari 10,000 mayat telah dikebumikan di tanah perkuburan di Wat Don ini. Tanah perkuburan ini telah wujud sejak lebih 50 tahun dahulu dan rata-rata mayat yang dikebumikan disini terlibat dalam kemalangan tragis.

Menurut kisah dari segelintir pemandu teksi yang menurunkan penumpang mereka di sekitar ini, didapati sesuatu perkara seram berlaku. Ada pemandu teksi pernah terlihat badan penumpang mereka dipenuhi darah, penumpang hilang secara tiba-tiba dan penumpang bertambah. Penduduk juga pernah terlihat pemandu teksi membawa penumpang mereka dalam keadaan ngeri termasuk melihat seseorang yang cedera parah, patah tangan, berlumuran darah dan tiada kepala di tempat duduk belakang.

Namun, hari ini beberapa bahagian di kawasan perkuburan itu telah diubahsuai menjadi taman rekreasi untuk pengunjung jogging dan bersenam.

Menara hantu di Bang Rak

Di tengah kesibukan kota raya Bangkok, terdapat sebuah bangunan penuh misteri di Jalan Bang Rak. Menara Sathorn Unique merupakan sebuah kondominium mewah yang didirikan lebih 20 tahun dahulu.

Menara yang memiliki 46 tingkat itu telah didirikan gah berhampiran sebuah kuil di situ sehingga rakyat menganggap sesuatu yang tidak menghormati agama mereka. Sehingga kini, mereka itu terbengkalai akibat syarikat pemaju kehabisan wang.

Kejadian mistik telah berlaku pada malam sekitar tahun 2015 apabila seorang juru gambar naik ke tingkat 43 bangunan berkenaan untuk mendapatkan visual langit Bangkok. Sepanjang berjalan di koridor yang gelap dalam bangunan itu, dia terlihat sekujur badan manusia tergantung di dalam salah sebuah bilik.

Dia segera lari untuk mendapatkan bantuan tetapi tidak berjaya sehinggakan dia bertindak untuk memuatnaik kapsyen di media sosial. Mengikut siasatan dari pihak polis, didapati individu yang mengantungkan diri itu adalah seorang lelaki warga dari Sweden. Sejak kejadian itu, pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran kepada umum yang lokasi berkenaan adalah kawasan larangan.

Sumber: TripCanvas

SKIP THIS AD ×