Selepas lebih sedekad, penyanyi Ernie Zakri meluahkan keterujaannya bakal mengeluarkan album terbaharu yang berjudul ‘Aura’.
Artikel Berkaitan: Ernie Zakri Syukur Dengar Cakap Ibu, Akui Pernah Terdetik Untuk ‘Give Up’ Menyanyi
Berkait rapat dengan kehidupan
Ketika ditemui OhBulan!, Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, dia berasa bersyukur kerana dapat menghasilkan 10 buah lagu dalam album ‘Aura’ dalam waktu yang sangat singkat.
Saya dan pasukan mulakan sesi recording pada bulan Mei atau Jun yang lalu tak silap saya. Alhamdulillah saya sendiri tak sangka saya dapat garapkan kesemua lagu itu dalam waktu beberapa bulan sahaja.
Mungkin juga ini rezeki saya apabila ditemukan dengan penerbit dan juga komposer yang hebat-hebat. Mereka memberikan kerjasama yang baik serta memahami apa yang saya mahukan sewaktu pembikinan album ini.
Sebagai seorang penyanyi juga saya memberikan komposer-komposer ini ruang untuk meletakkan sentuhan mereka dalam setiap lagu yang dihasilkan.
Ernie berkongsi perkara tersebut ketika sesi ‘Secret Listening Session’ Album ‘Aura’ bersama media yang diadakan di Maveriq Studio, Petaling Jaya pada petang Selasa.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 31 tahun ini memaklumkan bahawa hampir kesemua lagu yang dihasilkan sangat berkait rapat dengan kehidupannya sebagai seorang anak seni.
Saya menampilkan 10 buah lagu dalam album ‘Aura’ dan kesemua lagu tersebut sangat berkait rapat dengan kehidupan saya.
Saya juga yakin ramai orang di luar sana dapat ‘relate’ dengan lagu-lagu yang dihasilkan di dalam album ini kerana ia menampilkan nilai positif, semangat dan kebanyakan lagu-lagu di dalam album ini adalah untuk memberi harapan dan semangat kepada semua orang.
Sehubungan dengan itu, isteri kepada penyanyi Syamel berharap agar album ‘Aura’ yang bakal dilancarkan pada 3 November nanti boleh menjadi inspirasi buat para pendengar.
Sebagai seorang penyanyi, saya juga mempunyai tanggungjawab sebagai seorang ‘tukang cerita’.
Jadi adalah menjadi satu kepentingan untuk saya mengekalkan karier saya sebagai seorang penyanyi dengan menghasilkan lagu-lagu yang insya-Allah menjadi inspirasi kepada semua orang di luar sana terutama sekali anak muda yang mungkin berhadapan dengan masalah dalam kehidupan.
Saya harap album ini menjadi ‘peneman’ buat anda semua di luar sana.