Sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kami daripada pihak OhBulan! ingin menyenarikan 10 lagu raya yang ‘evergreen’ dan sentiasa menjadi pilihan pendengar.
Balik Kampung – Sudirman
Balik kampung antara lagu wajib yang akan dipasang tatkala dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. Bukan sahaja orang dewasa, kanak-kanak pun hafal lagu ‘Balik Kampung’ ni!
Dendang Perantau – P Ramlee
Meskipun dihasilkan sekitar 1950 an, lagu ‘Dendang Perantau’ ini masih kekal malar segar. Mana taknya, bait-bait lirik lagu ini berjaya membuatkan ramai orang terkenang kampung halaman.
Pulanglah – Aishah
Selain ‘Dendang Perantau’ nyanyian P Ramlee, lagu ‘Pulanglah’ nyanyian Aishah ini turut membuat para pendengar mengalir air mata. Merindui seseorang yang jauh di mata membuatkan perasaan dan emosi menjadi sebak tatkala mendengar lagu ini.
Suasana Hari Raya – Anuar Zain & Ellina
Sesiapa sahaja yang mendengar lagu ‘Suasana Hari Raya’ pasti akan teringat zaman kanak-kanak. Maklumlah, lagu ini mengimbau momen dapat duit raya, menikmati pelbagai juadah makanan dan aneka kuih raya.
Selamat Hari Raya – Saloma
Lagu nyanyian Saloma ini bukan sahaja diminati oleh masyarakat Melayu bahkan masyarakat Cina dan India juga. Boleh dikatakan satu Malaysia tahu lagu ini.
Satu Hari Di Hari Raya – M Nasir
Kalau korang nak tahu, lagu ini dirakamkan dalam dua versi. Kali pertama, lagu ini dirakamkan intro muzik ini menggunakan gitar. Masa itu, M Nasir masih lagi bernaung di bawah syarikat rakaman, Polygram.
Selepas menyertai label BMG, M Nasir merakamkan semula lagu ini, tetapi ada sedikit perubahan. Beliau menggantikan muzik gitar kepada seruling hasil tiupan Mohar. Apabila dibuat perubahan, beliau dapat rasakan kelainan kepada lagu ini kerana bunyinya seperti ‘berhantu’ dan mudah untuk diingati. Kiranya, intro muzik menjadi tanda dagang untuk lagu ini.
Bila Takbir Bergema – Rafeah Buang
Lagu ciptaan Kassim Masdor ini sangat ringkas dan mudah dihafal liriknya. Di samping itu, lagu ini sering menjadi pilihan pendengar dan dimainkan di corong-corong radio tempatan.
Bersabarlah Sayang – Sanisah Huri
Setiap kali menjelang hari raya Aidilfitri, antara dendangan yang menjadi siulan ramai semestinya lagu berjudul ‘Bersabarlah Sayang’ nyanyian Sanisah Huri.
Tahun lalu, nama penyanyi tersebut tiba-tiba kembali menjadi perhatian ramai. Ini kerana, komposer terkenal, Ajai memuat naik video TikTok bersama Sanisah tatkala merakam semula dua lagu popularnya.
Dari Jauh Ku Pohon Maaf – Sudirman
Buat mereka yang berada di perantauan, sudah pasti lagu ini membuatkan korang rindu keluarga di kampung halaman. Mana taknya, korang hanya mampu bermaaf-maafan menerusi panggilan video mahupun panggilan telefon sahaja. Bagi mereka yang terpaksa bertugas semasa hari raya, lagu ini pasti membuatkan korang berasa sedih.
Bila Hari Raya Menjelma – Datuk Seri Siti Nurhaliza
Lagu ‘Bila Hari Raya Menjelma’ ini sangat popular di Malaysia dan Indonesia. Kalau korang nak tahu, selain lagu ini, lagu raya nyanyian Tok Ti yang lain turut mendapat sambutan daripada para pendengar. Antara lagu raya hits Tok Ti yang lain ialah Sesuci Lebaran dan Nazam Lebaran.